Return to site

ADAKAH NABI KHIDIR A.S. MASIH HIDUP?

August 28, 2022

Ada ‘ulamak yang mendakwa bahawa Nabi Khidir a.s. masih hidup dan ada yang mendakwa bahawa ia adalah ijma’ (kesepakatan) seluruh ulamak. Selain itu, ada juga yang mendakwa yang Nabi Khidir a.s. akan hidup sehinggalah Dajjal cuba membunuhnya.

Barangkali mereka berhujahkan sebuah hadis riwayat al-Imam Muslim di dalam Sahihnya, tentang kisah lelaki terakhir yang cuba dibunuh oleh Dajjal, tetapi tidak berjaya.

Pada akhir hadis tersebut, dinukilkan kata-kata Abu Ishaq yang mana beliau berkata:

يُقَالُ إِنَّ هَذَا الرَّجُلَ هُوَ الْخَضِرُ عَلَيْهِ السَّلَام

“Dikatakan, sesungguhnya lelaki (yang cuba dibunuh oleh Dajjal) ini ialah Khidir a.s.”

Tetapi tambahan ini dha’if kerana tidak diketahui siapakah yang mendakwa bahawa lelaki yang cuba dibunuh oleh Dajjal itu adalah Nabi Khdiir a.s. Kerana itulah Abu Ishaq menggunakan sighah “Dikatakan” sebagai isyarat bahawa pendapat ini dha’if.

Maka, pendapat yang lebih tepat adalah apa yang menjadi pegangan para muhaqqiqun seperti al-Imam Ibnul ‘Arabi, al-Imam Ibnu Taimiyyah, al-Imam Ibnul Qayyim dan al-Imam Ibnu Katsir iaitu Nabi Khidir a.s. telah wafat, kerana tidak terdapat sebarang nas baik daripada al-Quran mahupun as-Sunnah yang secara jelas menyatakan bahawa Nabi Khidir a.s. masih hidup.

Selain itu, jika benarlah Nabi Khidir a.s. masih hidup, kenapa beliau tidak datang menemui Nabi s.a.w. bagi menyatakan keimanannya kepada baginda dan bersama-sama berjuang dengan baginda, sebagaimana perjanjian yang telah dimeterai antara semua Nabi dengan Allah s.w.t. melalui firman-Nya:

وَإِذْ أَخَذَ اللَّهُ مِيثَاقَ النَّبِيِّينَ لَمَا آتَيْتُكُمْ مِنْ كِتَابٍ وَحِكْمَةٍ ثُمَّ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مُصَدِّقٌ لِمَا مَعَكُمْ لَتُؤْمِنُنَّ بِهِ وَلَتَنْصُرُنَّهُ ۚ قَالَ أَأَقْرَرْتُمْ وَأَخَذْتُمْ عَلَىٰ ذَٰلِكُمْ إِصْرِيۖ قَالُوا أَقْرَرْنَا ۚ قَالَ فَاشْهَدُوا وَأَنَا مَعَكُمْ مِنَ الشَّاهِدِينَ

“Dan(ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari Nabi-Nabi (dengan berfirman), ‘Sesungguhnya apa jua Kitab dan Hikmah yang Aku berikan kepada kalian, kemudian datang pula kepada Kamu seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w.) yang mengesahkan apa yang ada pada kalian, hendaklah kalian beriman sungguh-sungguh kepadanya, dan hendaklah kalian bersungguh-sungguh menolongnya.’

Allah berfirman lagi (dengan bertanya kepada mereka), ‘Sudahkah kalian mengakui dan sudahkah kalian menerima ikatan janji-Ku secara yang demikian itu?’Mereka menjawab, ‘Kami mengakui dan menerimanya.’

Allah berfirman lagi, ‘Jika demikian, maka bersaksilah kalian, dan Aku juga menjadi saksi bersama-sama dengan kalian.’"

[Surah Aali ‘Imran (3) : 81]

Jika diandaikan yang Nabi Khidir a.s. telah bertemu dengan Nabi s.a.w. bagi menyatakan keimanannya kepada baginda tanpa diketahui oleh seorang pun sahabat, ia adalah andaian yang lemah dan tidak masuk akal kerana mustahil Nabi s.a.w. menyembunyikan hal ini daripada pengetahuan para sahabat sedangkan baginda diharamkan daripada menyembunyikan ilmu.

Dan jika diandaikan yang Nabi s.a.w. sendiri pun tidak mengenali Nabi Khidir a.s. saat beliau bertemu dengan baginda atas arahan daripada Allah s.w.t., ia juga tidak boleh dijadikan hujah kerana andaian kosong seperti ini bukanlah satu hujah di sisi agama.

Maka, pendapat yang paling tepat dalam masalah ini ialah Nabi Khidir a.s. telah wafat, kerana jika tidak, adalah menjadi kewajipan kepada beliau untuk bertemu dengan Nabi s.a.w. bagi menyatakan keimanannya kepada baginda dan berjuang bersama-sama dengan baginda, yang mana hal ini tidak disebut di dalam mana-mana nas, baik al-Quran mahupun as-Sunnah.

Wallahu a’lam.