Return to site

BERGURU DENGAN SYAITAN

August 23, 2022

Adalah tidak benar dakwaan sesetengah pihak yang berkata bahawa sesiapa yang membaca buku tanpa panduan guru, maka syaitanlah yang menjadi gurunya. Mereka bersandarkan kepada sebuah kata-kata yang masyhur:

من لا شيخ له فشيخه الشيطان

Maksudnya:

"Barangsiapa yang tidak mempunyai guru, maka syaitanlah yang menjadi gurunya."

 

Walhal ungkapan ini bukanlah hadis Nabi s.a.w. dan tidak diketahui pun siapakah yang mula-mula menuturkannya.

Ia juga bercanggah dengan realiti yang menunjukkan ramai yang tersesat, meskipun mempunyai guru, kerana ada juga guru yang menjadi “syaitan” dengan mengajar kebatilan kepada para pengikutnya.

Demikian jugalah dengan buku; selagi mana bahasanya jelas dan boleh difahami serta isinya benar, maka ia tetap berperanan sebagai guru bagi kita.

Selain itu, jika kita bataskan maksud guru kepada manusia yang masih hidup semata-mata, nescaya hadis sekalipun tidak boleh digunapakai kerana Nabi s.a.w. yang menuturkannya telah lama wafat dan meninggalkan kita.

Sebaliknya, dari dulu hingga kini, kita masih menjadikan hadis-hadis Nabi s.a.w. sebagai guru yang memandu hidup kita dalam beragama.

Maka, demikianlah juga dengan buku-buku yang lain; jika penulisnya sesat dan kandungannya berisi kesesatan, ia tetap menjadi "syaitan," tanpa mengira sama ada penulisnya masih hidup atau telah meninggal dunia.

Wallahu a’lam.