Return to site

BERTEMU DENGAN NABI S.A.W. SELEPAS BERMIMPI?

August 26, 2022

Telah diriwayatkan di dalam sebuah hadis sahih daripada Abu Hurairah r.a., katanya Nabi s.a.w. bersabda:

مَن رَآنِي في المَنامِ فَسَيَرانِي في اليَقَظَةِ ، أوْ لَكَأنَّما رَآنِي في اليَقَظَةِ ، لا يَتَمَثَّلُ الشَّيْطانُ بي

"Barangsiapa yang melihatku di dalam mimpi, maka dia akan melihatku ketika terjaga," atau "dia seolah-olah melihatku ketika terjaga (kerana) syaitan tidak dapat menyerupaiku."

[Sahih al-Bukhari (6993) & Sahih Muslim (2266)]

Hadis ini sahih, tetapi perawinya tidak pasti adakah Nabi s.a.w. bersabda yang barangsiapa bermimpi bertemu dengan baginda:

  • maka dia akan bertemu dengan baginda ketika terjaga (LAFAZ PERTAMA); atau
  • dia seolah-olah bertemu dengan baginda ketika terjaga (LAFAZ KEDUA).

Tetapi, kedua-dua perbezaan lafaz ini dapat diharmonikan, iaitu jika diandaikan yang tepat adalah LAFAZ PERTAMA, maka ia merujuk kepada umat Islam yang bermimpi bertemu dengan Nabi s.a.w. ketika baginda masih hidup.

Ertinya, jika ada yang bermimpi bertemu dengan Nabi s.a.w. pada saat baginda masih hidup, maka dia akan diberikan taufiq oleh Allah Ta’ala untuk bertemu dengan baginda dalam keadaan sedar.

Adapun jika diandaikan yang LAFAZ KEDUA itulah yang tepat, maka ertinya, pertemuan dengan Nabi s.a.w. di dalam mimpi itu benar-benar berlaku dan ia bukanlah sekadar mimpi kosong atau tipu-daya syaitan kerana syaitan tidak dapat menyerupai baginda.

Hal ini sebagaimanayang dijelaskan oleh al-Imam an-Nawawi r.h.m.:

قال العلماء : إن كان الواقع في نفس الأمر فكأنما رآني فهو كقوله صلى الله عليه وسلم : " فقد رآني " أو " فقد رأى الحق " ، كما سبق تفسيره ، وإن كان سيراني في اليقظة ففيه أقوال : أحدها المراد به أهل عصره ومعناه أن من رآه في النوم ، ولم يكن هاجر ، يوفقه الله تعالى للهجرة . ورؤيته صلى الله عليه وسلم في اليقظة عيانا ، والثاني معناه أنه يرى تصديق تلك الرؤيا في اليقظة في الدار الآخرة ؛ لأنه يراه في الآخرة جميع أمته من رآه في الدنيا ، ومن لم يره . والثالث يراه في الآخرة رؤية خاصته في القرب منه وحصول شفاعته ونحو ذلك والله أعلم 

“Para ‘ulamak berkata, ‘Jika lafaz yang tepat dalam masalah ini ialah {maka, seolah-olah dia melihatku}, maka ianya sama seperti sabdanya s.a.w. (di dalam riwayat lain), {maka, dia telah melihatku} atau {maka, dia memang telah melihat diriku yang sebenar} sebagaimana yang telah dijelaskan sebelumnya.

Tetapi, jika lafaz yang tepat dalam masalah ini ialah {dia akan melihatku ketika terjaga}, maka padanya terdapat beberapa pendapat.

Menurut pendapat pertama, ia merujuk kepada orang yang hidup pada zaman baginda, dan maknanya ialah barangsiapa yang melihat baginda ketika tidur sedangkan dia belum lagi berhijrah, maka Allah Ta’ala akan memberikannya taufiq untuk berhijrah, lalu dia pun dapat melihat baginda s.a.w. dalam keadaan sedar dengan kedua-dua belah matanya.

Menurut pendapat kedua pula, dia akan melihat pembenaran bagi mimpinya itu dalam keadaan sedar pada Hari Akhirat nanti kerana seluruh umat baginda dapat melihat baginda di Akhirat nanti, baik sesiapa yang pernah melihat baginda di dunia, mahupun yang belum dapat melihat baginda di dunia.

Dan menurut pendapat ketiga, dia akan melihat baginda pada Hari Akhirat nanti dengan pandangan yang khusus dalam keadaan dirinya dekat dengan baginda sambil mendapat syafat’at baginda dan (mendapat kelebihan-kelebihan lain) yang seumpama dengannya.’”

Allah sahajalah yang lebih mengetahui.

Malangnya, sebahagian golongan yang cenderung kepada kebatilan, memahami hadis ini dengan cara yang semberono tanpa membandingkannya dengan nas-nas yang lain supaya mendapat pemahaman yang menyeluruh sebagaimana yang dilakukan oleh al-Imam an-Nawawi.

Dan daripada pemahaman yang semberono inilah tersebarnya dakwaan bahawa ada dalam kalangan mereka yang bertemu dengan Nabi s.a.w. secara yaqazah (dalam keadaan sedar) setelah mendakwa melihat baginda di dalam mimpi.

Demikianlah Allah menyesatkan sesiapa yang mempunyai kecenderungan ke arah kesesatan dengan pilihan dan kemahuannya sendiri.

Wallahu a’lam.