Return to site

BOLEHKAH DOKTOR LELAKI MERAWAT PESAKIT WANITA?

August 28, 2022

Al-Imam al-Bukhari telah meriwayatkan hadis berikut dengan sanadnya:

عَنْ رُبَيِّعَ بِنْتِ مُعَوِّذِ بْنِ عَفْرَاءَ قَالَتْ كُنَّا نَغْزُو مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَسْقِي الْقَوْمَ وَنَخْدُمُهُمْ وَنَرُدُّ الْقَتْلَى وَالْجَرْحَى إِلَى الْمَدِينَةِ

Dari Rubayyi' binti Mu'awwiz bin 'Afra`, beliau berkata, “Kami pernah ikut perang bersama-sama dengan Nabi s.a.w. Kami bertugas memberikan minuman kepada pasukan tentera dan membantu menyiapkan keperluan mereka, serta ikut membawa orang-orang yang gugur dan yang terluka pulang ke Madinah.”

ULASAN

1. Hadis ini menunjukkanbahawa ada wanita pada zaman Nabi s.a.w. yang berkhidmat sebagai perawat (doktor dan jururawat) kepada kaum lelaki.

2. Maka, al-Imam al-Bukhari memasukkan hadis ini di dalam Bab Adakah Lelaki Boleh Merawat Wanita dan Adakah Wanita Boleh Merawat Lelaki (بابٌ هَلْ يُدَاوِي الرَّجُلُ المَرْأةَ والمَرْأةُ الرَّجُلَ) untuk dijadikan hujah bahawa harus bagi kaum wanita untuk merawat pesakit lelaki, dan pada masa yang sama, harus juga bagi kaum lelaki untuk merawat pesakit wanita (dengan menggunakan kaedah qiyas).

3. Keharusan ini tidak sekadar terbatas ketika perang, sebaliknya ia dibenarkan walaupun dalam suasana aman, sebagaimana Nabi s.a.w. pernah menyuruh seorang sahabiah (sahabat dari kalangan wanita) bernama Syifa’ merawat sahabat yang sakit di luar waktu perang.

4. Hadis ini juga menjadi dalil dan galakan untuk kaum wanita menuntut ilmu, khususnya dalam bidang
perubatan dan memilih bidang ini sebagai kerjaya mereka.

5. Selain itu, rawatan ini juga hendaklah dilakukan dengan penuh etika dan profesional, seperti hanya melihat aurat dan menyentuh pesakit pada kadar yang perlu, sebagaimana sahabiah dahulu pastinya perlu melihat aurat dan menyentuh pesakit bukan mahram ketika merawat para sahabat yang cedera dalam peperangan.

6. Namun begitu, tidaklah dinafikan bahawa mendahulukan perawat yang sama jantina itu lebih baik kerana lebih menjaga diri daripada fitnah.

Wallahu a’lam.