Return to site

HADIS DAN ZIKIR NUR MUHAMMAD

August 24, 2022

1. Kepercayaan terhadap Nur Muhammad sebagai makhluk pertama ciptaan Allah, boleh dikatakan diterima oleh hampir semua golongan tasawuf.

2. Walau bagaimana pun ,kepercayaan ini tidak berasal daripada sebarang hadis sahih, hasan mahupun dha’if. Sebaliknya, hadis-hadis yang menyebut perihal Nur Muhammad sebagai makhluk pertama ciptaan Allah hanya disebutkan di dalam hadis-hadis maudhu’ (palsu).

3. Hadis-hadis palsu ini juga bercanggah dengan hadis-hadis sahih yang menyebut tentang makhluk pertama ciptaan Allah iaitu air dan ‘Arasy, kemudian Qalam, kemudian langit dan bumi.

Para ‘ulamak hanya berbeza pendapat dalam menentukan makhluk manakah yang terlebih dahulu dicipta antara air dan ‘Arasy, atau adakah kedua-duanya diciptakan serentak, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.:

كانَ اللَّهُ ولَمْ يَكُنْ شَيءٌ غَيْرُهُ، وكانَ عَرْشُهُ علَى المَاءِ، وكَتَبَ في الذِّكْرِ كُلَّ شيءٍ، وخَلَقَ السَّمَوَاتِ والأرْضَ

“Allah telah ada sejak azali ketika mana tidak ada apa pun yang wujud selain daripada Dirinya. Tatkala ‘Arasy-Nya telah berada di atas air, Dia menulis segala sesuatu (yang akan terjadi) di dalam az-Zikr (kitab). Lalu, Dia mencipta sekalian langit dan bumi.”

[Sahih al-Bukhari (3191)]

Dalam menghuraikan hadis di atas, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata:

وكان عرشه على الماء معناه أنه خلق الماء سابقا ثم خلق العرش على الماء

“‘Tatkala ‘Arasy-Nya telah berada di atas air’ bermaksud yang Dia telah mencipta air sebelum dia mencipta ‘Arasy di atas air itu.”

Ertinya, menurut al-Hafiz Ibn Hajar, jika air belum ada, bagaimana Allah mahu ciptakan ‘Arasy di atas air?

Lafaz “Dia menulis segala sesuatu” pula isyarat kepada penciptaan Qalam.

Al-‘Allamah Badruddin al-‘Aini juga berkongsi pandangan yang sama di dalam ‘Umdatul Qari, dengan berkata:

وفي قوله: وكان عرشه على الماء، دلالة على أن الماء، والعرش كانا مبدأ هذا العالم؛ لكونهما خلقا قبل خلق السماوات والأرض، ولم يكن تحت العرش إذ ذاك إلا الماء. فإن قلت: إذا كان العرش والماء مخلوقين أولًا، فأيهما سابق في الخلق؟ قلت:الماء

“Sabdanya, ‘Tatkala ‘Arasy-Nya telah berada di atas air,’ menunjukkan yang air dan ‘Arasy adalah teras bagi (penciptaan) alam ini, kerana kedua-duanya telah dicipta sebelum diciptakan sekalian langit dan bumi, dan tidak ada apa pun di bawah ‘Arasy ketika itu melainkan air. Lalu, jika ditanya, ‘Jika ‘Arasy dan air adalah dua ciptaan terawal, yang mana satukah antara duanya yang diciptakan terlebih dahulu?’ Aku menjawab, ‘Air.’

Lalu, beliau membawakan hujah-hujahnya.

Tetapi, ada juga ‘ulamak yang berpendapat bahawa ‘Arasy yang diciptakan terlebih dahulu beserta hujah-hujahnya, seperti al-Imam Ibn Taimiyyah dan al-Imam Ibnul Qayyim.

Dan ada juga yang berpendapat bahawa kedua-duanya diciptakan serentak dalam keadaan ‘Arasy diciptakan pada bahagian atas, dan pada masa yang sama, air diciptakan pada bahagian bawah.

Hanyasanya, tidak ada yang beriman bahawa Nur Muhammad adalah makhluk pertama ciptaan Allah melainkan Syi’ah dan golongan yang terpengaruh dengan fahaman Syi’ah seperti Kaum Sufi Batini.

4. Selain itu, hadis-hadis palsu yang menyebut perihal penciptaan alam daripada Nur Muhammad juga mirip dengan kepercayaan sistem kasta dalam Agama Hindu, kerana dikatakan bahawa kedudukan manusia di atas dunia ini, bergantung kepada sudut pandangan roh terhadap Nur Muhammad setelah ia diciptakan dalam bentuk jasad Nabi Muhammad s.a.w. yang mana semua ini berlaku di alam roh.

Misalnya, ada disebutkan di dalam kitab “Daqa’iqul Akhbar Fi Zikril Jannati Wan Nar” karangan ‘Abdur Rahim bin Ahmad al-Qadhi, “Kasyful Ghaibiyyah” sebuah kitab jawi karangan Syaikh Zainal ‘Abidin bin Muhammad al-Fathoni dan lain-lain sebuah hadis perihal Nur Muhammad yang panjang, yang mana antara kandungannya:

“Kemudian Allah menciptakan sebuah bekas kaca daripada permata-permata merah. Bahagian luarnya dapat dilihat daripada dalamnya. Kemudian Allah menjadikan rupa Nur Muhammad itu seperti rupa baginda (Nabi Muhammad s.a.w.) di dalam dunia ini.

Lalu, diletakkannya di dalam bekas kaca itu. Maka berdirilah ia di dalam bekas kaca itu seperti berdirinya di dalam sembahyang dan ruh-ruh para Nabi dan lain-lain mengelilingi bekas kaca Nur Muhammad itu. Mereka semua bertasbih dan bertahlil selama 100,000 tahun.

Kemudian, Allah memerintahkan supaya tiap-tiap ruh itu menilik Nur Muhammad itu. Ada yang melihat kepalanya, maka jadilah ia khalifah dan sultan antara sekelian makhluk. Ada yang melihat kedua-dua belah matanya, maka jadilah ia hafiz bagi Kalam Allah. Ada yang melihat kedua-dua belah keningnya, maka jadilah ia pelukis.

Ada yang melihat kedua-dua belah telinganya, maka jadilah ia orang yang mendengar dan patuh. Ada yang melihat kedua-dua belah pipinya, maka jadilah ia orang yang berbuat baik dan berakal. Ada yang melihat kedua-dua bibirnya, maka jadilah ia pembesar-pembesar di sisi raja. Ada yang melihat hidungnya, maka jadilah ia pujangga, doktor dan penjual wangi-wangian. Ada yang melihat mulutnya, maka jadilah ia orang yang berkuasa.

Ada yang melihat kakinya, maka jadilah ia orang rupawan sama ada lelaki atau perempuan. Ada yang melihat akan lidahnya, maka jadilah ia utusan raja-raja. Ada yang melihat halqumnya, maka jadilah ia penasihat dan muazzin (juru azan). Ada yang melihat janggutnya, maka jadilah ia orang yang berjuang fi sabilillah. Ada yang melihat tengkoknya, maka jadilah ia saudagar.

Ada yang melihat kedua-dua belah lengannya, maka jadilah ia orang yang pandai bermain kuda dan pedang. Ada yang melihat lengan kanannya, maka jadilah ia tukang berbekam. Ada yang melihat lengan kirinya, maka jadilah ia orang yang jahil. Ada yang melihat tapak tangan kanannya, maka jadilah ia penjual emas dan perak dan tukang sukat. Ada yang melihat tangan kirinya, maka jadilah ia orang yang pandai menyukat.

Ada yang melihat kedua-dua belah tangannya, maka jadilah ia orang yang pemurah dan terpuji. Ada yang melihat belakang tapak tangannya yang kiri, maka jadilah ia orang yang bakhil. Ada yang melihat belakang tapak tangannya yang kanan, maka jadilah ia tukang masak. Ada yang melihat ruas-ruas anak jari yang kiri, maka jadilah ia juru tulis. Ada yang melihat anak-anak jari yang kiri, maka jadilah ia tukang jahit. Ada yang melihat segala anak-anak jari yang kiri, maka jadilah ia tukang besi.

Ada yang melihat dadanya, maka jadilah ia orang yang`alim, mulia dan mujtahid. Ada yang melihat belakangnya, maka jadilah ia orang yang tawadhu’ dan taat mengikut syara’. Ada yang melihat kedua-dua belah lambungnya, maka jadilah ia orang yang berperang fi sabilillah. Ada yang melihat perutnya, maka jadilah ia orang yang bersifat qana’ah dan zahid.

Ada yang melihat kedua-dua belah lututnya, makajadilah ia orang yang ruku’ dan orang yang sujud. Ada yang melihat kedua-dua belah kakinya, maka jadilah ia orang yang pandai berburu. Ada yang melihat kedua-dua belah tapak kakinya, maka jadilah ia orang yang banyak berjalan. Ada yang melihat bayang-bayangnya, maka jadilah ia penyanyi dan pemain gendang.

Ada yang tiada melihat sesuatu daripadanya, makajadilah ia Yahudi, Nasrani, kafir, musyrik atau Majusi. Ada yang tiada langsung melihatnya, maka jadilah ia orang yang mendakwa ketuhanan seperti Fir’aun dan lainnya daripada orang kafir.”

Sesungguhnya, ini adalah kepercayaan karut-marut yang jauh daripada ajaran Islam yang murni.

5. Kemudian, ada pula yang mendakwa bahawa hadis perihal Nur Muhammad sebagai makhluk pertama ciptaan Allah seperti yang dinukilkan di atas wujud di dalam Musonnaf ‘Abdur Razzaq. Tetapi, ia adalah dakwaan kosong kerana hadis tersebut tidak wujud pun di dalam kitab tersebut, di samping laras bahasanya sendiri yang jauh berbeza dengan bentuk pertuturan Nabi s.a.w.

6. Maka, setelah jelas bahawa kepercayaan berkaitan Nur Muhammad ini batil, tentu sahaja sebarang zikir yang mempunyai lafaz Nur Muhammad perlu dielakkan.

7. Meskipun ada ‘ulamak yang berpendapat bahawa boleh beramal dengan zikir ciptaan manusia dengan syarat ia tidak bercanggah dengan syarak, tetapi mereka tetap bersepakat bahawa zikir-zikir yang berasal dari sunnah (ajaran) Nabi s.a.w. itu lebih baik, kerana ia berasal daripada wahyu dan lengkap untuk segenap keadaan, dari bangun tidur, sebelum masuk ke dalam tandas, setelah keluar dari tandas, setelah berwudhu’, sebelum memakai pakaian, ketika melihat cermin, ketika hendak keluar dari rumah, ketika berada di atas kenderaan, ketika berada dalam perjalanan menuju masjid, ketika melalui jalan yang curam, apabila masuk ke dalam masjid, sebelum dan selepas solat, setelah keluar dari masjid, apabila mengunjungi pasar, ketika memasuki waktu pagi, petang dan malam, sebelum bersetubuh dengan isteri, hinggalah ketika hendak tidur.

Setelah begitu lengkap Allah mewahyukan zikir-zikir kepada Nabi s.a.w., kenapa kita masih mencari-cari zikir-zikir ciptaan manusia biasa yang belum terjamin penerimaan oleh Allah dan kelebihannya di sisi Allah?

8. Tetapi, jika ada yang mendakwa bahawa zikir-zikir rekaan manusia biasa itu lebih baik daripada yang diajarkan sendiri oleh Nabi s.a.w., maka telah rosaklah agamanya, kerana bercanggah dengan sabda Nabi s.a.w.:

وَخَيْرُ الهُدَى هُدَى مُحَمَّدٍ

“Sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad.”

[Sahih Muslim (867)]

Wallahua’lam.