Return to site

HUBUNGAN KAUM TUA DENGAN ALIRAN DEOBANDI

December 17, 2022

Sekurang-kurangnya, terdapat empat persamaan antara golongan yang dikenali sebagai “Kaum Tua” di negara kita dengan ‘ulamak dari aliran Deobandi di India, iaitu:

1. Kedua-duanya mementingkan pengajian fiqh bermazhab. Yang berbeza hanyalah ‘ulamak Deobandi mengikut Mazhab Hanafi, manakala Kaum Tua di Malaysia pula berpegang dengan Mazhab Syafi’i.

2. Kedua-duanya mengiktiraf dan menitikberatkan pengajian ilmu tasawwuf, sehinggakan kalam Ibn ‘Arabi dan al-Hallaj pun turut dinukilkan oleh ‘ulamak Deobandi.

3. Kedua-duanya banyak menggunakan ilmu kalam sebagai alat untuk perbahasan.

4. Kedua-duanya mengikut ‘aqidah Kaum Khalaf. Hanyasanya ‘ulamak Deobandi mengikut Mazhab Maturidiah, manakala Kaum Tua di Malaysia mengikut Mazhab Asya’irah.

Barangkali inilah sebabnya kenapa kebanyakan ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke India, lebih cenderung ke arah aliran Deobandi, berbanding aliran ahlul hadis.

Namun begitu, terdapat dua perbezaan ketara antara dua golongan ini, iaitu:

1. ‘Ulamak Deobandi sangat menghargai dan menghormati keilmuwan al-Imam Ibn Taimiyyah, lebih-lebih lagi kerana murid-muridnya sendiri termasuk dalam kalangan kibar ‘ulamak, seperti al-Imam az-Zahabi, al-Imam Ibn Katsir dan al-Imam Ibn al-Qayyim. Maka, murid-murid yang hebat ini sudah semestinya lahir daripada didikan guru yang hebat.

Hal ini jauh bezanya dengan pegangan Kaum Tua di Malaysia yang menghukum al-Imam Ibn Taimiyyah sebagai sesat, sehingga ada yang berusaha mengumpulkan bukti-bukti kekufuran al-Imam Ibn Taimiyyah.

2. ‘Ulamak Deobandi menghormati dan mengajar ‘aqidah Salaf dan Khalaf. Hal ini juga berbeza dengan
Kaum Tua di Malaysia yang lebih fokus kepada pengajian ‘aqidah Kaum Khalaf dan sebahagiannya tidak menghormati ‘aqidah Kaum Salaf.

Sesungguhnya, sifat terbuka ‘ulamak Deobandi ini berpunca daripada didikan dan pemikiran Syah Waliyullah ad-Dahlawi sendiri yang berusaha melakukan islah dalam keadaan menghormati aliran-aliran yang saling bertentangan.

Wallahu a’lam.