Return to site

HUKUM MERANCANG KELUARGA

August 22, 2022

Adakah umat Islam dibenarkan untuk merancang keluarga? Bagi menjawab persoalan ini, para ‘ulamak membahaskan terlebih dahulu siapakah yang lebih berhak ke atas anak seseorang Muslim?

PENDAPAT PERTAMA (PENDAPAT AL-IMAM AL-GHAZALI):

Al-Imam al-Ghazali berpendapat bahawa ayah lebih berhak ke atas anaknya berbanding orang lain. Jadi, terpulanglah kepada ayah sama ada dia mahukan anak atau tidak.

Maka, menurut pendapat ini, hukum asal perancangan keluarga adalah harus atas alasan:

1. Tidak terdapat sebarang nas yang mewajibkan seseorang untuk mempunyai anak.

2. Sebaliknya, yang lebih dekat dengan nas adalah keharusan untuk tidak mempunyai anak kerana hukum asal tidak berkahwin adalah harus.

3. Demikian jugalah tidak terdapat nas yang mewajibkan bersetubuh selepas berkahwin.

Rentetan itu, menurut al-Imam al-Ghazali, diharuskan bagi seseorang suami untuk melakukan ‘azal (tidak menumpahkan air mani ke dalam faraj isteri) dan sebarang cara yang menghalang daripada memperolehi anak, sebagaimana diharuskan untuk seseorang mengambil keputusan untuk tidak berkahwin sama sekali.

Walau bagaimana pun, hukum ini boleh berubah mengikut sebab kenapa seseorang itu mengambil keputusan untuk tidak mempunyai anak.

PENDAPAT KEDUA (MAZHAB HANAFI):

Hanafiah (‘ulamak Mazhab Hanafi) pula berpendapat bahawa anak adalah hak bersama kedua-dua orang ibu bapa. Maka, tidak boleh melakukan perancangan keluarga melainkan dengan persetujuan mereka berdua.

PENDAPAT KETIGA (MAZHAB SYAFI’I DAN MAZHAB HANBALI)

Jumhur ‘ulamak pula berpendapat bahawa hak atas seseorang anak itu dikongsi bersama antara ibu bapa dengan umat, tetapi hak ibu bapa ke atas anak lebih besar berbanding hak umat.

Maka, mengikut pendapat ini, pada asalnya hukum merancang keluarga adalah makruh, kerana besarnya manfaat seorang anak kepada umat berbanding kepada ibu bapanya sendiri, yang mungkin tidak bersama dengannya melainkan dalam tempoh beberapa belas tahun sahaja.

PENDAPAT KEEMPAT (AL-IMAM IBN HIBBAN DAN AL-IMAM IBN HAZMIN AL-ANDALUSI)

Menurut pendapat keempat, hak umat atas seorang anak lebih kuat daripada hak ibu bapa atas anak mereka sendiri.

Maka, mereka mengharamkan secara mutlaq perancangan keluarga, kerana anak adalah hak semua anggota masyarakat sehingga mustahil bagi ibu bapa untuk mendapatkan keizinan daripada semua anggota masyarakat untuk merancang keluarga.

Hukumnya hanya bertukar menjadi harus jika ia boleh memberikan mudarat yang pasti kepada ibu yang mengandungkan anak tersebut.

Demikianlah hukum perancangan keluarga secara ringkas di sisi ‘ulamak.

Wallahu a’lam.