Return to site

HUKUM MEWARNA RAMBUT DENGAN WARNA HITAM

September 22, 2022

Telah diriwayatkan oleh al-Imam Muslim dengan sanadnya bahawa Abu Quhafah r.a. telah dibawa menemui Nabi s.a.w. setelah pembukaan Kota Makkah dalam keadaan rambut dan janggutnyanya berwarna putih bak bunga kemboja. Maka, Nabi s.a.w. pun bersabda:

غَيِّرُوا هَذَا بِشَىْءٍ وَاجْتَنِبُوا السَّوَادَ

Maksudnya:

“Ubahlah (warna rambut dan janggutnya) ini dengan sebarang bahan, tetapi jauhilah warna hitam.”

Maka, sebahagian ‘ulamak dalam Mazhab Syafi’i berpendapat bahawa haram mewarnakan rambut dengan warna hitam atas alasan perbuatan tersebut dikira menipu kerana menyembunyikan uban. Manakala mazhab-mazhab lain berpendapat yang hukumnya hanyalah makruh dan hanya diharuskan ketika perang.

Tetapi terdapat riwayat lain yang menunjukkan bahawa para sahabat, termasuklah Abu Bakr, ‘Umar dan ‘Utsman r.a.hum mewarna rambut mereka ketika mereka telah tua. Demikian juga terdapat riwayat bahawa ‘ulamak Salaf dahulu turut mewarnakan rambut mereka dengan warna hitam, sebagaimana yang disimpulkan oleh al-Imam asy-Syaukani:

“Sebahagian jamaah (‘ulamak salaf) mewarnakan rambut mereka dengan warna hitam. Diriwayatkan hal ini daripada (para sahabat seperti) ‘Utsman (bin `Affan), al-Hasan dan al-Hussein anak-anak ‘Ali (bin Abi Tholib), `Uqbah bin `Amir dan Ibn Sirin, Abi Burdah dan lain-lain.”

[asy-Syaukani, Nailul Author (2/281)]

Maka, sekalian hadis, atsar dan amalan ‘ulamak Salaf ini menunjukkan bahawa hukum mewarnakan rambut dengan warna hitam tidaklah haram atau makruh pada setiap situasi. Sebaliknya, ia bergantung kepada warna rambut asal individu berkenaan, kerana bangsa ‘Arab mempunyai warna rambut yang pelbagai seperti hitam, coklat, perang, kuning dan sebagainya.

Hal ini kerana tujuan mewarnakan rambut adalah supaya kelihatan cantik, kemas dan meningkatkan keyakinan diri; bukan semata-mata untuk tujuan peperangan seperti yang difahami oleh sebahagian ‘ulamak.

Bahan untuk mewarnakan rambut juga tidak terhad kepada inai dan katam semata-mata. Sebaliknya, diharuskan untuk kita menggunakan sebarang bahan yang diyakini halal, selamat dan tidak menghalang air daripada sampai ke rambut.

Namun begitu, kita hendaklah mengelakkan daripada menggunakan warna-warna yang jauh dari kebiasaan rambut manusia seperti biru, hijau dan seumpamanya, lebih-lebih lagi kerana ianya mirip dengan perbuatan orang-orang fasiq.

Wallahu a’lam.