Return to site

HUKUM SOLAT HAJAT

 

August 22, 2022

1. Terdapat sebuah hadis berkaitan pensyari’atan Solat Hajat, sebagaimana yang diriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda:

مَنْ كَانَتْ لَهُ إِلَى اللَّهِ حَاجَةٌ أَوْ إِلَى أَحَدٍ مِنْ بَنِي آدَمَ فَلْيَتَوَضَّأْ وَلْيُحْسِنِ الْوُضُوءَ ثُمَّ لْيُصَلِّ رَكْعَتَيْنِ ثُمَّ لْيُثْنِ عَلَى اللَّهِ وَلْيُصَلِّ عَلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم ثُمَّ لْيَقُلْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ الْحَلِيمُ الْكَرِيمُ سُبْحَانَ اللَّهِ رَبِّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ أَسْأَلُكَ مُوجِبَاتِ رَحْمَتِكَ وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ وَالْغَنِيمَةَ مِنْ كُلِّ بِرٍّ وَالسَّلاَمَةَ مِنْ كُلِّ إِثْمٍ لاَ تَدَعْ لِي ذَنْبًا إِلاَّ غَفَرْتَهُ وَلاَ هَمًّا إِلاَّ فَرَّجْتَهُ وَلاَ حَاجَةً هِيَ لَكَ رِضًا إِلاَّ قَضَيْتَهَا يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ

Maksudnya: "Barangsiapa yang mempunyai sebarang hajat kepada Allah atau kepada mana-mana Bani Adam, hendaklah dia berwudhu dan memperelokkan wudhu’nya. Kemudian, hendaklah dia bersolat dua raka’at. Kemudian, hendaklah dia memuji Allah Ta’ala dan berselawat ke atas Nabi s.a.w., lalu berdoa: 

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ الْحَلِيمُ الْكَرِيمُ سُبْحَانَ اللَّهِ رَبِّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ أَسْأَلُكَ مُوجِبَاتِ رَحْمَتِكَ وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ وَالْغَنِيمَةَ مِنْ كُلِّ بِرٍّ وَالسَّلاَمَةَ مِنْ كُلِّ إِثْمٍ لاَ تَدَعْ لِي ذَنْبًا إِلاَّ غَفَرْتَهُ وَلاَ هَمًّا إِلاَّ فَرَّجْتَهُ وَلاَ حَاجَةً هِيَ لَكَ رِضًا إِلاَّ قَضَيْتَهَا يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ

'Tiada sembahan selain Allah Yang Maha Lemah Lembut lagi Maha Mulia.Maha Suci Allah, Pemilik ‘Arasy yang Agung. Segala puji bagi Allah, Pemilik dan Pentadbir Sekalian ‘Alam. Daku memohon sebab-sebab untukku beroleh rahmat-Mu, ketetapan hati (di atas iman) untukku beroleh keampunan-Mu, perlindungan daripada setiap dosa, keuntungan daripada setiap kebaikan (yang daku lakukan) dan keselamatan (daripada ditimpa azab) daripada setiap dosa (yang daku lakukan). Janganlah Engkau biarkan daku dalam keadaan berdosa melainkan engkau ampunkannya (dosa-dosaku itu), janganlah Engkau biarkan daku dalam keadaan gundah-gelana melainkan Engkau bebaskan aku daripadanya, dan janganlah Engkau biarkan daku dalam keadaan berhajatkan sesuatu yang Engkau sendiri meredhainya melainkan Engkau menunaikannya wahai Yang Paling Penyayang antara mereka yang menyayangi.'" 

Di dalam Sunan Ibn Majah, terdapat tambahan lafaz:

ثُمَّ يَسْأَلُ اللَّهَ مِنْ أَمْرِ الدُّنْيَاوَالآخِرَةِ مَا شَاءَ فَإِنَّهُ يُقَدَّرُ

"Kemudian, mintalah kepada Allah sebarang hajat dari urusan dunia dan akhirat yang dikehendakinya, kerana sesungguhnya, Dia pasti akan memperkenankannya."

Inilah hadis yang dijadikan hujah pensyari’atan Solat Hajat oleh para ‘ulamak yang menerimanya.

2. Namun begitu, hadis ini dha’if dan ia didha’ifkan sendiri oleh al-Imam at-Tirmizi sendiri dengan berkata:

وَفِي إِسْنَادِهِ مَقَالٌ ‏.‏ فَائِدُ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ يُضَعَّفُ فِي الْحَدِيثِ

"Pada sanadnya ada kritikan (kerana) Fa’id bin ‘Abdur Rahman didha’ifkan oleh ‘ulamak akan hadis yang diriwayatkan olehnya."

3. Tetapi, sebahagian ‘ulamak tetap beramal dengan hadis ini atas alasan:

I. Hadis ini datang dengan beberapa jalur dan mempunyai beberapa syawahid yang boleh menjadi penguat kepadanya, di samping mereka memang menerima hadis yang diriwayatkan oleh Fa’id bin ‘Abdur Rahman.

II. Hadis ini termasuk dalam masalah fadha’il a’mal yang mana jumhur ‘ulamak berpendapat bahawa boleh beramal dengan hadis dha’if dalam masalah fadha’il a’mal dengan syarat amalan yang disebutkan di dalam hadis tersebut memang ada asalnya daripada sunnah dan ia tidak bercanggah dengan nas lain yang lebih sahih daripadanya.

4. Maka, menurut sebahagian ‘ulamak, boleh beramal dengan hadis ini kerana zahirnya, bentuk Solat Sunat yang digambarkan di dalam hadis ini sama seperti Solat Sunat Mutlaq lain yang ditunaikan sebanyak dua raka’at, dan dibaca di dalamnya Surah al-Fatihah dan sebarang ayat al-Quran.

Adapun doa yang disebutkan di dalam hadis tersebut, maksudnya juga tidak bercanggah dengan syarak. Maka, ia juga boleh diamalkan.

5. Adapun untuk menunaikan Solat Hajat secara berjama’ah, jumhur fuqaha’ berpendapat bahawa harus menunaikan Solat Sunat secara berjama’ah, selagi mana ia tidak dijadikan kelaziman.

Hal ini sebagaimana yang disebutkan oleh al-Imam an-Nawawi di dalamal-Majmu’:

قد سبق أن النوافل لا تشرع الجماعة فيها إلا في العيدينوالكسوفين والاستسقاء ، وكذا التراويح والوتر بعدها إذا قلنا بالأصح : إن الجماعةفيها أفضل ، وأما باقي النوافل كالسنن الراتبة مع الفرائض والضحى والنوافل المطلقةفلا تشرع فيها الجماعة، أي لا تستحب، لكن لو صلاها جماعة جاز، ولا يقال: إنه مكروه وقد نص الشافعي رحمه الله في مختصري البويطي والربيع على أنه لا بأس بالجماعة فيالنافلة ودليل جوازها جماعة أحاديث كثيرة في الصحيح، منها حديث عتبان بن مالك رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم جاءه في بيته بعد ما اشتد النهار ومعهأبو بكر رضي الله عنه فقال النبي صلى الله عليه وسلم: أين تحب أن أصلي من بيتك ؟ فأشرت إلى المكان الذي أحب أن يصلي فيه فقام وصفنا خلفه ثم سلم وسلمنا حين سلم رواه البخاري ومسلم ، وثبتت الجماعة في النافلة مع رسول الله صلى الله عليه وسلم من رواية ابن عباس وأنس بن مالك وابن مسعود وحذيفة رضي الله عنهم، وأحاديثهم كلهافي الصحيحين إلا حديث حذيفة ففي مسلم فقط.

"Telah berlalu penjelasan daripada kami bahawasanya Solat Sunat tidak disyari’atkan untuk dilakukan secara berjama’ah, melainkan bagi Solat Dua Hari Raya (Fitrah dan Qurban), Solat Dua Gerhana (Matahari dan Bulan) dan Solat Minta Hujan, demikian jugalah Solat Tarawih dan Witir sesudahnya yang mana kami berkata, 'Menurut pendapat yang paling sahih, sesungguhnya, melakukannya (solat-solat sunat yang disebutkan ini) secara berjama’ah lebih baik.'

Adapun baki Solat Sunat yang lain seperti Solat Rawatib, Solat Dhuha dan Solat Sunat Mutlaq, ia tidak disyari’atkan untuk dilakukan secara berjama’ah, dalam erti kata, ia tidak disunatkan (untuk melakukannya secara berjama’ah).

Tetapi, kalau ada yang melakukannya secara berjam’ah, hukumnya harus dan tidak dikatakan, 'Ianya makruh.'

Telah sabit penyataan daripada al-Imam as-Syafi’i (semoga Allah merahmatinya) di dalam Mukhtasar al-Buwaithi dan Mukhtasar ar-Rabi’ bahawasanya beliau berpendapat tidak mengapa menunaikan Solat Sunat secara berjama’ah, dan dalil pengharusannya untuk dilakukan secara berjama’ah adalah hadis-hadis yang banyak di dalam kitab Sahih (al-Bukhari dan Muslim).

Antaranya adalah hadis ‘Atban bin Malik r.a.,:

أن النبي صلى الله عليه وسلم جاءه في بيته بعدما اشتد النهار ومعه أبو بكر رضي الله عنه فقال النبي صلى الله عليه وسلم: ؟ فأشرت إلى المكان الذي أحب أن يصلي فيه فقام وصفنا خلفه ثم سلم وسلمنا حين سلم

Bahawasanya Nabi s.a.w. telah datang ke rumahnya setelah teriknya waktusiang pada hari itu, dan Abu Bakr ada bersama-sama dengan baginda (ketika itu). Maka, Nabi s.a.w. pun bertanya (kepada ‘Atban), "Di manakah lokasi yang engkau suka untuk aku bersolatdi dalam rumahmu?"

(‘Atban menceritakan), "Aku pun menunjukkan ke lokasi yang aku suka untuk baginda bersolat di situ. Maka, baginda berdiri dan kami pun membuat saf di belakang baginda. Kemudian, baginda memberi salam, dan kami pun memberi salam setelah baginda memberi salam."

Hadis ini telah diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim.

Juga telah sabit perbuatan (para sahabat) menunaikan Solat Sunat secara berjam’ah bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w. daripada riwayat Ibn Abbas, Anas bin Malik, Ibn Mas’ud, dan Huzaifah (semoga Allah meredhai mereka semua), dan kesemua hadis mereka ini ada di dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim, kecuali hadis Huzaifah yang hanya terdapat di dalam Sahih Muslim."

6. Maka, hukum Solat Hajat adalah khilaf dalam kalangan ‘ulamak. Demikian jugalah para ‘ulamak berbeza pendapat dalam menentukan sama ada ia boleh dilakukan secara berjama’ah atau tidak.

Maka, sebaiknya, kedua-dua pihak saling menghormati dalam masalah khilafiah seperti ini.

Wallahua’lam.