Return to site

IKUT SELAIN EMPAT MAZHAB

November 23, 2022

Sebahagaian ‘ulamak, antaranya al-Imam al-Haramin, al-Qarrafi dan Ibn Solah berpendapat bahawa orang awam tidak boleh bertaqlid kepada selain daripada mazhab fiqh yang empat (iaitu Hanafi, Maliki, Syafi’i dan Hanbali).

Antara alasan mereka adalah kerana hanya empat mazhab fiqh ini sahaja yang perbahasan fiqhnya direkodkan secara tersusun dan telah melalui proses pentarjihan oleh para mujtahid mazhab masing-masing, sehingga orang awam boleh mengetahui mana satukah pendapat yang paling kuat (ar-rajih) dan pendapat terkini (qaul jadid) yang telah memansuhkan (an-nasikh) pendapat terdahulu (al-mansukh).

Pada masa yang sama, ada juga ‘ulamak yang memberikan kelonggaran untuk mengambil pendapat selain daripada mazhab fiqh yang empat atas alasan-alasannya yang tersendiri seperti memberikan kemudahan dan keluasan dalam perkara-perkara yang disempitkan atau tidak dibahaskan langsung oleh mazhab yang empat.

Adapun alasan mazhab yang empat itu telah disusun secara terperinci sehingga mudah untuk orang awam mengetahui pendapat manakah yang rajih atau terkini, realitinya kebanyakan orang awam tidak pernah mengambil tahu hal tersebut dan tidak mampu untuk mengetahuinya, kerana mereka hanya bertaqlid (mengikut pendapat tokoh tanpa mengetahui hujahnya).

Jadi, kalau sudah demikian, apa bezanya perbuatan orang awam bertaqlid dengan salah satu pendapat daripada empat mazhab dengan bertaqlid dengan pendapat selainnya?

Selain itu, pendapat di luar mazhab yang empat ini juga diiktiraf oleh sarjana Islam dari dahulu sehingga kini. Jadi, kenapa orang awam perlu dihalang daripada mengikut pendapat mereka, sedangkan ‘ulamak terdahulu sendiri menerimanya?

Wallahu a'lam.