August 10, 2022

Allah s.w.t. berfirman:

فَٱسۡتَقِمۡ كَمَاۤ أُمِرۡتَ وَمَن تَاب مَعَكَ وَلَا تَطۡغَوۡا۟ۚ إِنَّهُۥبِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِیرࣱ

Maksudnya: "Hendaklah engkau tetap teguh di atas perintah Tuhanmu sebagaimana yang telah diperintahkan untuk engkau melakukannya. Dan barangsiapa yang bertaubat (dengan beriman kepada Allah) bersama-sama denganmu (mereka juga hendaklah beristiqamah di atas perintah Allah). Dan janganlah kalian melampaui batas (hukum-hakam Allah). Sesungguhnya Dia sentiasa melihat apa yang kalian kerjakan."

[Surah Hud (11) : 112]

Istiqamah bermaksud tetap pendirian atau tetap teguh di atas jalan yang benar iaitu di atas perintah Allah s.w.t.

Ia adalah sifat yang dicintai oleh Allah s.w.t. sebagaimana yang dikhabarkan oleh Nabi s.a.w. apabila baginda ditanya oleh ‘A’isyah r.a.huma., "Amalan apakah yang paling dicintai oleh Allah?" baginda s.a.w. menjawab:

أَدْوَمُهَا وَإِنْ قَلَّ

Maksudnya: "Yang paling konsisten dikerjakan meskipun sedikit amalan itu."

Dan barangsiapa yang beristiqamah, dia pasti akan berjaya. Misalnya, peniaga yang istiqamah menjaga kualiti produknya, para pelanggannya pasti akan terus datang dengan membawa kawan-kawan mereka yang lain, sehingga perniagaannya pun makin berkembang dan berjaya.

Demikian jugalah dengan penuntut ilmu. Meskipun seseorang itu tidak terlalu pandai, jika dia konsisten datang ke kelas, dia akan berjaya kerana kejayaan dalam menuntut ilmu bukan sekadar bergantung kepada kepandaian semata-mata, tetapi ia juga berhajat kepada kesungguhan, istiqamah, peribadi yang baik dan keberkatan yang diperoleh di dalam majlis ilmu itu.

Dalam perjuangan pun kita perlu istiqamah. Jika kita terus mengalah apabila disindir atau diejek oleh manusia, nescaya sia-sialah perjuangan kita.

Maka, penting untuk kita sedar bahawa apabila Allah memerintahkan kita supaya melakukan sesuatu, ia pasti baik untuk kejayaan hidup kita di dunia dan akhirat.

Wallahu a’lam.