Return to site

KELEBIHAN MAZHAB FIQH AL-IMAM AL-BUKHARI (BAHAGIAN 01)

January 22, 2024

Jika kita menelusuri perbahasan para ulama dalam Bab Tayammum di dalam Sahih al-Bukhari, kita dapat menemui bebrapa kelebihan fiqh al-Imam al-Bukhari yang amat dinamis dan “relevant” terutamanya untuk dunia moden hari ini.

Kelebihan pertama ialah fiqh beliau mengandungi unsur-unsur kemudahan yang merupakan salah satu tonggak fiqh Islam, sebagaimana firman-Nya:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya:

“Allah mahukan kemudahan untuk kalian dan Dia tidak mahukan kesusahan untuk kalian.”

Surah al-Baqarah (2) : 185

Demikian jugalah sabda Nabi s.a.w.:

فَإِنَّمَا بُعِثْتُمْ مُيَسِّرِينَ وَلَمْ تُبْعَثُوا مُعَسِّرِينَ

Maksudnya:

“Kalian diutuskan (sebagai delegasi) semata-mata untuk memudahkan orang lain. Kalian tidak diutuskan untuk menyusahkan (orang lain).”

Antara contoh kemudahan dalam fiqh al-Imam al-Bukhari ialah:

1. Al-Imam al-Bukhari berpendapat bahawa diharuskan untuk bertayammum dengan menepuk selain daripada debu seperti batang pokok, rumput, malah salji seperti bagi mereka yang tinggal di kawasan pergunungan salji. Hal ini tentu sahaja berbeza dengan pandangan jumhur (majoriti ulama) yang berpendapat bahawa tayammum hanya diharuskan dengan debu tanah semata-mata.

2. Al-Imam al-Bukhari juga berpendapat bahawa tayammum sah dengan satu tepukan sahaja lalu disapu sehingga pergelangan tangan sahaja, yang mana pandangan ini berbeza dengan pendirian sebahagian ulama yang mewajibkan tepuk sebanyak dua kali dan perlu menyapu debu sehingga ke siku.

3. Al-Imam al-Bukhari juga berpendapat bahawa wanita yang didatangi haid boleh membaca al-Quran dan diberikan pahala; jauh bezanya dengan pandangan jumhur yang menghukum haram kepada wanita yang didatangi haid untuk membaca al-Quran. Pandangan ini memberikan keringanan kepada kaum wanita untuk memperolehi pahala daripada bacaan al-Quran meskipun ketika haid.

Tetapi, segala kemudahan ini hanya boleh diketahui dan diamalkan oleh mereka yang mempelajari fiqh al-Imam al-Bukhari.

Malangnya,ada sebahagian manusia yang anti kepada kemudahan, walhal ‘A’isyah r.a.ha. sendiri pernah berkata:

مَا خُيِّرَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم بَيْنَ أَمْرَيْنِ قَطُّ إِلاَّ أَخَذَ أَيْسَرَهُمَا

Maksudnya:

“Tidaklah Rasulullah s.a.w. diberikan pilihan antara dua perkara, melainkan baginda pasti memilih yang paling mudah antara kedua-dua perkara itu.”

Jadi,apa salahnya untuk kita memilih pendapat yang lebih mudah setelah Nabi s.a.w. sendiri melakukannya? Adakah kita mahu menandingi Nabi s.a.w.?

Wallahua’lam.