Return to site

KENAPA SURAH AT-TAUBAH TIDAK DIMULAKAN DENGAN BASMALAH

October 21, 2022

Sebab utama kenapa Surah at-Taubah tidak dimulakan dengan Basmalah adalah kerana Nabi s.a.w. sendiri yang mengarahkan para sahabat supaya tidak menulis basmalah pada pangkal surah tersebut, sebagaimana yang dikatakan oleh al-Imam al-Qurthubi:

والصحيح أن التسمية لم تكتب لأن جبريل عليه السلام ما نزل بها في هذه السورة قاله القشيري

Maksudnya:

“Sebenarnya, tidak ditulis basmalah (di pangkal Surah at-Taubah) kerana Jibril a.s. tidak turun bersama-sama dengan basmalah pada surah ini, kata al-Qusyairi.”

Hal ini membuktikan bahawa seluruh isi kandungan al-Quran sememangnya Kalam Allah; bukan rekaan manusia.

Antara hikmahnya adalah kerana ayat pertama surah tersebut adalah berkisar pengisytiharan perang oleh Allah s.w.t. kepada Kaum Musyrikin, sehingga tidak sesuai untuk ianya dimulakan dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim yang mempunyai maksud yang menunjukkan keluasan rahmat Allah kepada manusia.

Hal ini sama seperti apa yang diriwayatkan oleh Ibnul ‘Arabi dengan sanadnya yang jayyid:

نا مُحَمَّدُ بْنُ زَكَرِيَّا ،نا يَعْقُوبُ بْنُ جَعْفَرٍ ، نا جَعْفَرُ بْنُ سُلَيْمَانَ ، عَنْ أَبِيهِ سُلَيْمَانَ بْنِ عَلِيٍّ الْهَاشِمِيِّ ، عَنْ أَبِيهِ ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبَّاسٍ ، قَالَ : سَأَلْتُ عَلِيَّ بْنَ أَبِي طَالِبٍ لِمَ لَمْ يُكْتَبْ فِي بَرَاءَةٍ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ ؟ قَالَ : " لأَنَّ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ أَمَانٌ ، وَبَرَاءَةٌ لَيْسَ فِيهَا أَمَانٌ نَزَلَتْ بِالسَّيْفِ

Maksudnya:

Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Zakaria, telah menceritakan kepada kami Ya’qub bin Ja’far, telah menceritakan kepada kami Ja’far bin Sulaiman, daripada ayahnya (iaitu) Sulaiman bin ‘Ali al-Hasyimi, daripada ayahnya, daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas (r.a.huma.), katanya:

“Aku telah bertanya kepada ‘Ali bin Abu Tholib, ‘Kenapa tidak ditulis Bismillahir Rahmanir Rahimpada (Surah) al-Bara’ah?’”

Beliau menjawab, “Kerana Bismillahir Rahmanir Rahim (simbolik kepada) keamanan, sedangkan Surah al-Bara’ah, tidak ada padanya keamanan (kerana) ia diturunkan dengan pedang (pengisytiharan perang).”

Samalah seperti ketika menyembelih yang mana Nabi s.a.w. mengajar kita supaya menyebut "Bismillahi wallahu Akbar" - bukan "Bismillahir Rahmanir Rahim" - kerana ia lebih sesuai dengan perbuatan menyembelih tersebut, sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dengan sanadnya daripada Anas bin Malik r.a., katanya:

ضَحَّى النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ أَقْرَنَيْنِ، ذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ، وَسَمَّى وَكَبَّرَ وَوَضَعَ رِجْلَهُ عَلَى صِفَاحِهِمَا‏

Maksudnya:

“Nabi s.a.w. menyembelih dua ekor kibas bertanduk berwaran hitam dan putih. Baginda menyembelih kedua-dua ekor kibas itu dengan tangan baginda sambil menyebut nama Allah serta bertakbir dan meletakkan kaki baginda di atas rusuk kedua-dua ekor kibas itu.”

Ada juga ‘ulamak yang berpendapat bahawa Surah at-Taubah tidak dimulakan dengan lafaz basmalah kerana isi kandungannya mirip dengan surah sebelumnya iaitu Surah al-Anfal, sebagaimana yang dijawab oleh Khalifah ‘Utsman bin ‘Affan apabila beliau ditanya oleh Ibn ‘Abbas r.a.hum. tentang kenapa beliau tidak menulis Basmalah pada pangkal Surah at-Taubah? Lalu ‘Utsman bin ‘Affan menjawab:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم مِمَّايَأْتِي عَلَيْهِ الزَّمَانُ وَهُوَ تَنْزِلُ عَلَيْهِ السُّوَرُ ذَوَاتُ الْعَدَدِ فَكَانَ إِذَا نَزَلَ عَلَيْهِ الشَّىْءُ دَعَا بَعْضَ مَنْ كَانَ يَكْتُبُ فَيَقُولُ ضَعُوا هَؤُلاَءِ الآيَاتِ فِي السُّورَةِ الَّتِي يُذْكَرُ فِيهَا كَذَا وَكَذَا وَإِذَا نَزَلَتْ عَلَيْهِ الآيَةُ فَيَقُولُ ضَعُوا هَذِهِ الآيَةَ فِي السُّورَةِ الَّتِي يُذْكَرُ فِيهَا كَذَا وَكَذَا وَكَانَتِ الأَنْفَالُ مِنْ أَوَائِلِ مَا أُنْزِلَتْ بِالْمَدِينَةِ وَكَانَتْ بَرَاءَةُ مِنْ آخِرِ الْقُرْآنِ وَكَانَتْ قِصَّتُهَا شَبِيهَةً بِقِصَّتِهَا فَظَنَنْتُ أَنَّهَا مِنْهَا فَقُبِضَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَلَمْ يُبَيِّنْ لَنَا أَنَّهَا مِنْهَا فَمِنْ أَجْلِ ذَلِكَ قَرَنْتُ بَيْنَهُمَا وَلَمْ أَكْتُبْ بَيْنَهُمَا سَطْرَ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ فَوَضَعْتُهَا فِي السَّبْعِ الطُّوَلِ

Maksudnya:

“Kadang-kala dalam sesuatu waktu, turun surah yang mempunyai banyak ayat kepada Rasulullah s.a.w. Maka, apabila turun kepada baginda sebarang wahyu, baginda menyeru sebahagian juru tulis baginda seraya bersabda, ‘Letakkan ayat-ayat ini pada surah yang disebutkan sekian dan sekian.’ Dan apabila turun kepada baginda satu ayat, baginda pun bersabda, ‘Letakkan ayat ini di dalam Surah yangdisebutkan sekian dan sekian.’

Surah al-Anfal termasuk dalam surah-surah terawal yang diturunkan di Madinah, manakal Surah al-Bara’ah (Surah at-Taubah) pula termasuk dalam ayat al-Quran terakhir diturunkan, tetapi kisah yang disebutkan di dalam Surah at-Taubah mirip dengan kisah yang disebutkan di dalam Surah al-Anfal, sehingga aku berasa mungkin Surah at-Taubah sebahagian daripada Surah al-Anfal.

Tiba-tiba nyawa Rasulullah s.a.w. dicabut sedangkan baginda belum sempat menjelaskan kepada kami adakah Surah at-Taubah ini sebahagian daripada Surah al-Anfal. Kerana itulah aku meletakkan kedua-duanya sebelah menyebelah, tetapi tidak aku tulis di antara dua surah ini Bismillahir Rahmanir Rahim dan aku letakkannya juga dalam tujuh surah terpanjang.”

Wallahua’lam.