Return to site

KESUDAHAN YANG BAIK HANYA BAGI YANG BERTAQWA

August 9, 2022

Allah Ta’ala berfirman:

تِلۡكَ ٱلدَّارُ ٱلۡـَٔاخِرَةُ نَجۡعَلُهَا لِلَّذِینَ لَا یُرِیدُونَ عُلُوࣰّا فِی ٱلۡأَرۡضِ وَلَا فَسَادࣰاۚ وَٱلۡعَـٰقِبَةُ لِلۡمُتَّقِینَ

Maksudnya: "Negeri Akhirat itu Kami jadikan untuk orang-orang yang tidak sombong dan tidak juga melakukan kerosakan di atas muka bumi. Dan kesudahan yang baik itu hanyalah untuk orang-orang yang bertaqwa."

[Surahal-Qasas (28) : 83]

Taqwa bermaksud menjaga diri daripada segala yang diharamkan oleh Allah.

Ayat ini memberikan gambaran bahawa orang-orang yang menjaga dirinya daripada keburukan pasti akan beroleh kesudahan yang baik, sama ada di dunia, di akhirat, atau kedua-duanya.

Contoh kesudahan yang baik di dunia adalah nikmat kesihatan kerana segala yang Allah haramkan itu adalah perkara-perkara yang memudaratkan tubuh badan.

Namun begitu, kebahagiaan yang hakiki semestinya kebahagian pada Hari Akhirat. Maka, janganlah kita menyangka orang-orang yang ditimpa dengan ujian yang besar di dunia seperti disisih dan diejek oleh masyarakat, dipenjarakan dan dibunuh adalah orang-orang yang diazab oleh Allah sehingga terhalang daripada beroleh kesudahan yang baik di dunia.

Sebaliknya, boleh jadi Allah menangguhkan balasan baik untuknya di akhirat, sebagaimana ramainya Anbiya’ yang maksum, tetapi mereka diejek, dipulau dan dibunuh oleh kaum mereka sendiri.

Wallahu a’lam.