Return to site

KHILAF TENTANG HUKUM MEMBACA AL-FATIHAH DI DALAM SOLAT

March 24, 2023

Secara umumnya, jumhur (majoriti) ‘ulamak berpendapat bahawa bacaan al-Fatihah termasuk dalam rukun solat. Ini adalah pendirian Mazhab Maliki, Mazhab Syafi’i, Mazhab Hanbali, Mazhab Zahiri dan majoriti ‘ulamak dari kalangan sahabat, tabi’in dan generasi seterusnya.

Mereka berhujahkan sabda Nabi s.a.w.:

لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Maksudnya:

“Tidak ada solat bagi sesiapa yang tidak membaca Surah al-Fatihah.”

Menurut jumhur, ungkapan “Tiada solat” di dalam hadis di atas bermaksud tidak sah solat.

Mazhab Hanafi pula berpendapat bahawa bacaan Surah al-Fatihah hanya wajib, tetapi ia bukanlah rukun solat. Maka, jika seseorang itu tidak membaca Surah al-Fatihah, dia berdosa tetapi solatnya tetap sah asalkan dia membaca sebarang ayat lain daripada al-Quran.

Mereka berhujahkan firman Allah Ta’ala:

فَاقْرَءُوا مَا تَيَسَّرَ مِنَ الْقُرْآنِ

Maksudnya:

“Maka, bacalah sebarang ayat al-Quran yang mudah bagimu (di dalam solat).”

[Surah al-Muzzammil (73) : 20]

Di dalam ayat di atas, Allah Ta’ala telah memberikan keumuman untuk membaca sebarang ayat al-Quran. Maka, menurut Mazhab Hanafi, telah sah solat seseorang yang membaca sebarang ayat daripada al-Quran.

Mereka juga berhujahkan sabda Nabi s.a.w.:

مَنْ صَلَّى صَلاَةً لَمْ يَقْرَأْ فِيهَا بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ فَهْىَ خِدَاجٌ

Maksudnya:

“Barangsiapa yang menunaikan sebarang solat tanpa membaca Surah al-Fatihah, maka solatnya itu tidak sempurna.”

Menurut Mazhab Hanafi, ungkapan “tidak sempurna” di dalam hadis membawa maksud berdosa sahaja; bukan tidak sah. Manakala jumhur pula memahami hadis di atas sebagai tidak sah, kerana tidak diterima solat yang tidak sempurna.

 

Para ‘ulamak juga berbeza pendapat tentang hukum makmum membaca Surah al-Fatihah, terutamanya di dalam Solat Jahriyyah iaitu solat yang mana imam membaca al-Quran secara kuat seperti Solat Maghrib, Solat ‘Isyak, Solat Subuh, Solat Juma’at, Solat Hari Raya dan sebagainya.

Sebahagian ‘ulamak berpendapat bahawa makmum tidak lagi wajib untuk membaca Surah al-Fatihah jika imam telah membacanya dengan suara yang lantang. Ini adalah pendapat Mazhab Hanafi, Mazhab Maliki, Mazhab Hanbali, qaul qadim (pendapat lama) al-Imam asy-Syafi’i dan sebahagian ‘ulamak salaf (generasi umat Islam yang hidup pada 300 tahun hijriyyah pertama).

Mereka berhujahkan firman Allah s.w.t.:

وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنْصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Maksudnya:

“Apabila dibacakan al-Quran, hendaklah kalian mendengarnya dengan teliti dan berdiam diri. Mudah-mudahan kalian akan dirahmati.”

[Surah al-A’raf (7) : 204]

Menurut al-Imam Ahmad bin Hanbal:

أجمَعَ النَّاسُ على أنَّ هذه الآيةَ في الصَّلاةِ

Maksudnya:

“Seluruh manusia telah bersepakat bahawa ayat ini berkaitan dengan solat.”

[al-Imam Ibn Qudamah, al-Mughni (1/4070]

Mereka juga berhujahkan sabda Nabi s.a.w.:

إِذَا صَلَّيْتُمْ فَأَقِيمُوا صُفُوفَكُمْ ثُمَّ لِيَؤُمَّكُمْ أَحَدُكُمْ فَإِذَا كَبَّرَ فكبروا وَإِذا قَرَأَ فأنصتوا

Maksudnya:

“Apabila kalian mahu bersolat, dirikanlah saf-saf kalian. Kemudian, lantikan salah seorang daripada kalian sebagai imam. Maka, apabila imam itu telah bertakbir, barulah kalian bertakbir dan apabila dia membaca (al-Quran), hendaklah kalian berdiam diri.”

Tetapi, menurut pendapat kedua, makmum tetap wajib membaca Surah al-Fatihah meskipun di dalam Solat Jahriyyah. Mereka berhujahkan sebuah hadis riwayat ‘Ubadah bin as-Somit, katanya:

صَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الصُّبْحَ فَثَقُلَتْ عَلَيْهِ الْقِرَاءَةُ فَلَمَّا انْصَرَفَ قَالَ‏ إِنِّي أَرَاكُمْ تَقْرَءُونَ وَرَاءَ إِمَامِكُمْ‏.‏ قَالَ قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ إِي وَاللَّهِ‏.‏ قَالَ فَلاَ تَفْعَلُوا إِلاَّ بِأُمِّ الْقُرْآنِ فَإِنَّهُ لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِهَا.

Maksudnya:

Rasulullah s.a.w. pernah menunaikan Solat Subuh. Tiba-tiba bacaan baginda seakan-akan terganggu. Maka, apabila telah selesai solat, baginda bersabda, “Sesungguhnya, aku dapati kalian turut membaca al-Quran di belakang imam kalian.” Kami menjawab, “Demi Allah, ya wahai Rasulullah.” Baginda pun bersabda, “Selepas ini, janganlah lagi kalian berbuat seperti itu (membaca al-Quran di belakang imam) melainkan (bacaan) Surah al-Fatihah kerana sesungguhnya, tidak ada solat bagi sesiapa yang tidak membacanya.”

Selepas meriwayatkan hadis ini, al-Imam at-Tirmizi berkata:

وَالْعَمَلُ عَلَى هَذَا الْحَدِيثِ فِي الْقِرَاءَةِ خَلْفَ الإِمَامِ عِنْدَ أَكْثَرِ أَهْلِ الْعِلْمِ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم وَالتَّابِعِينَ وَهُوَ قَوْلُ مَالِكِ بْنِ أَنَسٍ وَابْنِ الْمُبَارَكِ وَالشَّافِعِيِّ وَأَحْمَدَ وَإِسْحَاقَ يَرَوْنَ الْقِرَاءَةَ خَلْفَ الإِمَامِ

Maksudnya:

“Hadis ini diamalkan dalam bab bacaan di belakang imam oleh kebanyakan ‘ulamak dari kalangan sahabat Nabi s.a.w. dan tabi’in. Ia juga pendapat Malik bin Anas, Ibn Mubarak, asy-Syafi’i, Ahmad (bin Hanbal) dan Ishaq (bin Rahuyah). Mereka semua berpendapat bahawa makmum perlu membaca Surah al-Fatihah di belakang imam.”

Kerana itulah para ‘ulamak yang cenderung kepada pendapat kedua ini turut menghukum sunat kepada imam untuk berdiam sebentar selepas selesai membaca Surah al-Fatihah pada kadar yang cukup bagi makmum untuk menyelesaikan bacaan Surah al-Fatihahnya.

Mereka juga berhujahkan sebuah hadis riwayat Samurah bin Jundub r.a., katanya:

حَفِظْتُ سَكْتَتَيْنِ فِي الصَّلاَةِ سَكْتَةً إِذَا كَبَّرَ الإِمَامُ حَتَّى يَقْرَأَ وَسَكْتَةً إِذَا فَرَغَ مِنْ فَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Maksudnya: “Aku ingat tentang dua tempat imam berdiam sebentar di dalam solat (iaitu) iaitu antara Takbiratul Ihram dengan bacaan Surah al-Fatihah dan selepas selesai membaca Surah al-Fatihah.”

Tetapi, para ‘ulamak berbeza pendapat tentang status hadis ini. Ada yang mensahihkannya dan ada yang mendha’ifkannya. Hatta al-Imam Abu Daud sendiri menghukum hadis ini sebagai dha’if.

Adapun bacaan ayat-ayat lain selain daripada Surah al-Fatihah, al-Imam Ibn Taimiyyah berkata:

وقدْ أجمَعوا على أنَّه فيما زاد على الفاتحة، كونُه مستمعًا لقِراءة إمامه خيرٌ من أنْ يقرأ معه.

Maksudnya:

“Para ‘ulamak telah bersepakat bahawa orang yang mendengar sebarang ayat yang dibaca oleh imam selepas Surah al-Fatihah itu lebih baik daripada dia membaca ayat tersebut bersama-sama dengan imam.”

[al-Imam Ibn Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa (18/21)]

Wallahu a’lam.