Return to site

KRITIKAN TERHADAP KITAB FADHA'ILUL A'MAL

August 23, 2022

Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat hadis-hadis yang bermasalah iaitu yang bertaraf dha’if jiddan (sangat lemah) dan maudhu’ (palsu) di dalam kitab Fadha’ilul A’mal karangan Maulana Zakaria al-Kandahlawi. Bukan itu sahaja, kitab itu juga mengandungi kisah-kisah yang bukan hadis sama sekali yang tidak layak untuk dijadikan hujah dalam agama, sehingga ia mengundang kritikan para 'ulamak.

Menyedari hakikat ini, Maulana Zakaria menjawab sebahagian daripada kritikan tersebut, dan jika diperhatikan dengan 'adil dan saksama, kita perlu mengakui bahawa sebahagian daripada jawapan beliau itu boleh diterima, tetapi sebahagian lagi tidak, kerana kelemahan hujahnya.

Antara jawapan Maulana Zakaria ketika dipersoalkan kisah-kisah yang bukanlah hadis di dalam kitab Fadha'ilul A'mal, beliau berkata yang beliau tidak berhasrat untuk menjadikan kisah-kisah tersebut sebagai dalil bagi sesuatu amalan. Sebaliknya, beliau sekadar membawakan kisah-kisah tersebut untuk menyatakan keberkatan atau kelebihan sesuatu amalan berdasarkan pengalaman manusia biasa yang mengamalkannya.

Bagi yang mengenali Maulana Zakaria, mereka pastinya tahu bahawa beliau memang agak bermudah-mudah dalam bab ini kerana beliau adalah seorang Sufi, dan Kaum Sufi memang agak bermudah-mudah dengan kisah-kisah yang berkaitan dengan dakwaan karamah tertentu.

Maka, masyarakat seharusnya menghargai kritikan ilmiah yang dilakukan oleh para ‘ulamak dan ‘ilmuwan terhadap kitab Fadha’ilul A’mal dan kitab-kitab lain yang seumpama dengannya. Manakala bagi yang mampu, nilailah semula kritikan ilmiah tersebut dan jawapan balas daripada Maulana Zakaria dengan neraca ilmu.

Selain, kita juga perlu faham bahawa kitab-kitab berkaitan fadha’ilul a’mal dan targhib wa tarhib (galakan supaya melakukan sesuatu kebaikan dan ancaman supaya meninggalkan sesuatu dosa) memang beginilah sifatnya yang mana sejak dahulu lagi, para ‘ulamak yang mengarang kitab-kitab ini turut memuatkan hadis-hadis yang bermasalah, seolah-olah mereka berniat mahu mengumpulkan semua hadis yang berkaitan dengan bab ini tanpa mengambil kira statusnya.

Bagi ahli ilmu, mereka memahami hakikat ini dan mampu melakukan tapisan. Malangnya, ia menjadi fitnah kepada orang awam yang tidak memahami landasan ilmu sehingga mereka menerima semua hadis yang terkandung di dalam kitab-kitab karangan tokoh-tokoh yang mereka sanjung, tanpa memahami metodologi penulisan kitab-kitab tersebut.

Demikian jugalah dengan kitab-kitab al-Ajza’ seperti yang dikarang al-Imam al-Bukhari; ia juga tidak terlepas daripada mengandungi hadis-hadis yang bermasalah hingga ke tahap maudhu’ (palsu), kerana kitab-kitab tersebut memang ditulis dengan tujuan untuk mengumpulkan semua hadis yang berkaitan dengan sesuatu masalah, tanpa dikira statusnya.

Hal yang sama juga boleh dilihat di dalam kitab Dala’ilun Nubuwwah karangan al-Imam Abu Nu’aim yang mengumpulkan hadis-hadis tentang mukjizat Nabi s.a.w.; ia juga mengandungi banyak hadis dha’if jiddan dan maudhu’, padahal pengarangnya adalah guru kepada al-Imam al-Bukhari dan al-Imam al-Bukhari sendiri banyak meriwayatkan hadis daripada beliau.

Maka, kita hendaklah bersikap kritis dalam berinteraksi dengan hadis-hadis yang direkodkan di dalam kitab-kitab seperti ini, meskipun ia ditulis oleh para 'ulamak besar yang tidak diragui keilmuwan dan ketokohannya.

Pada masa yang sama, kita janganlah merendahkan para ‘ulamak yang mengarang kitab-kitab hadis yang terkandung di dalamnya hadis-hadis yang bermasalah kerana boleh jadi mereka sengaja melakukannya kerana tujuan kitab itu ditulis bukanlah untuk mengumpulkan hadis-hadis yang sahih dan hasan sahaja.

Wallahua’lam.