Return to site

LIMA PERINGKAT BISIKAN HATI

August 23, 2022

Para ‘ulamak membahagikan bisikan di dalam hati manusia kepada lima peringkat iaitu:

1. HAJIZ (حاجز) iaitu suatu lintasan perasaan yang mendatangi hati.

2. KHATIB (خاطب) iaitu suatu bisikan perasaan yang mendatangi hati terhadap sesuatu perkara.

3. HADISUN NAFS (حديث النفس) iaitu perbincangan di dalam hati sama ada mahu melakukan sesuatu perkara atau tidak.

Pada tiga peringkat pertama bisikan hati ini, ia masih belum dikira sebagai suatu kebaikan atau keburukan, sebagaimana sabda Nabi s.a.w.:

إنَّ اللَّهَ تَجاوَزَ عن أُمَّتي ما حَدَّثَتْ بهأنْفُسَها، ما لَمْ تَعْمَلْ أوْ تَتَكَلَّمْ

“Sesungguhnya, Allah memaafkan umatku apa yang dibicarakan di dalam jiwa-jiwa mereka selagi mana dia tidak melakukan atau mengatakannya.”

Peringkat seterusnya ialah:

4. HAMM (حم) iaitu telah cenderung untuk melakukan sesuatu, tetapi belum sampai ke peringkat tekad untuk melakukannya.

Bisikan hati pada peringkat ini mempunyai nilai di sisi agama. Bezanya, jika seseorang cenderung untuk melakukan keburukan, ia belum dikira sebagai satu dosa. Tetapi, jika dia telah cenderung untuk melakukan sesuatu kebaikan, Allah telah menulis pahala seolah-olah dia telah melakukan kebaikan tersebut dengan sempurna, sebagaimana sabda Nabi s.a.w.:

فَمَنْ هَمَّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً

“Barangsiapa yang telah timbul kecenderungan di dalam hatinya untuk melakukan sesuatu kebaikan, tetapi dia tidak jadi melakukannya, maka Allah telah menulis niatnya itu untuknya sebagai satu kebaikan yang sempurna (iaitu pahala telah melakukan amalan tersebut). 

فَإِنْ هُوَ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ عَشْرَ حَسَنَاتٍ إِلَى سَبْعِ مِائَةِ ضِعْفٍ إِلَى أَضْعَافٍ كَثِيرَةٍ

Tetapi, jika setelah timbul kecenderungan itu di dalam hatinya, dia benar-benar melakukannya, Allah pasti menulis untuknya, di sisi-Nya (pahala seperti melakukan) sepuluh kebaikan sehingga digandakan kepada 700 kali ganda, bahkan ada yang digandakan kepada jumlah yang tidak terhingga (mengikut nilai keikhlasan dan kualiti amalannya).

وَمَنْ هَمَّ بِسَيِّئَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَااللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً

Sebaliknya, barangsiapa yang telah timbul di dalam hatinya kecenderungan untuk melakukan sesuatu keburukan, kemudian dia tidak jadi melakukannya, Allah catat baginya satu kebaikan di sisi-Nya secara sempurna.

فَإِنْ هُوَ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ سَيِّئَةً وَاحِدَةً

Tetapi, jika setelah timbul kecenderungan itu di dalam hatinya, lalu dia benar-benar melakukannya, Allah hanya mencatat baginya (dosa melakukan) satu keburukan sahaja."

[Sahih al-Bukhari (6491)]

Hadis ini menunjukkan keluasan rahmat Allah Ta’ala dan betapa pemurahnya Dia kerana kecenderungan untuk melakukan kebaikan pun telah dihitung sebagai satu amal soleh yang sempurna. Demikian jugalah apabila seseorang membatalkan niatnya untuk melakukan keburukan. Walhal dalam kedua-dua perkara ini, kita belum pun melakukan sebarang amal soleh.

Adapun peringkat bisikan hati yang tertinggi ialah:

5. AZAM (عزم) iaitu telah bertekad untuk melakukan sesuatu.

Bisikan hatipada peringkat ini mempunyai kesan yang besar pada hukum fiqh. Misalnya, apabila seseorang telah bertekad untuk membatalkan solat jika hujan turun untuk mengambil bajunya di ampaian, maka solatnya ketika itu telah terbatal.

Demikian jugalah halnya dengan orang yang bertekad untuk membatalkan puasa jika ada yang membawakan makanan yang sedap kepadanya; ketika itu pun, puasanya telah terbatal, kerana kedua-dua ibadah ini (solat dan puasa) dimasuki dengan jalan niat. Maka, ia juga terbatal dengan niat.

Hal yang sama berlaku jika seseorang telah bertekad untuk menjadi kafir, maka dia telah menjadi kafir, kerana keimanan itu berasal daripada hati.

Tetapi, ada juga pengecualiannya, seperti dalam masalah talaq kerana talaq tidak jatuh dengan sekadar keazaman di dalam hati. Sebaliknya talaq hanya jatuh apabila ia dilafazkan dengan lisan.

Wallahua’lam.