Return to site

MALAIKAT MELAKNAT ISTERI YANG TIDAK MELAYAN SUAMI

August 23, 2022

Rasulullah s.a.w. bersabda:

إِذَا دَعَا الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ إِلَى فِرَاشِهِ فَأَبَتْ أَنْ تَجِيءَ لَعَنَتْهَا الْمَلَائِكَةُ حَتَّى تُصْبِحَ

"Jika seorang suami mengajak istrinya ke tempat tidur, lalu dia enggan untuk memenuhi ajakan suaminya itu (tanpa sebarang keuzuran syar’i), maka dia akan dilaknat oleh malaikat sehinggalah dia memasuki waktu pagi."

[Sahih al-Bukhari (4794)]

PENJELASAN

1. Hadis ini bukanlah bersifat mutlaq. Sebaliknya, ia mempunyai pengecualian iaitu keuzuran syar’i, seperti penat tubuh badan. Maka, jika seseorang isteri menolak ajakan suami untuk melakukan hubungan kelamin kerana dia letih melakukan pekerjaan seharian, dia tidaklah termasuk dalam kalangan isteri yang dilaknat oleh para malaikat.

2. Laknat ini juga tidak dikhususkan kepada isteri semata-mata. Sebaliknya, malaikat turut melaknat suami yang menolak ajakan isterinya untuk melakukan hubungan kelamin tanpa sebarang keuzuran syar’i.

3. Hanyasanya hadis ini menyebut ungkapan laknat kepada isteri secara khusus kerana biasanya, suami yang mengajak isterinya supaya melakukan hubungan kelamin, sedangkan isteri pula biasanya berada di rumah dan tidak dibebankan dengan bebanan mencari nafkah, sehingga tidak ada sebarang alasan untuknya menolak permintaan suaminya untuk melakukan hubungan kelamin dengannya.

4. Sebaiknya, dalam hubungan rumahtangga, suami dan isteri hendaklah bersikap saling memahami dan tidak memaksa jika pasangan masing-masing mempunyai keuzuran seperti penat atau mempunyai perkara lain yang lebih mustahak untuk dilakukan.

5. Selain itu, hadis ini juga memberikan petunjuk kenapa Allah membenarkan poligami iaitu supaya ia dapat memberikan jalan keluar kepada isteri yang tidak mampu untuk memenuhi ajakan suaminya, kerana haid, penyakit atau keletihan lebih-lebih lagi kerana ramai wanita yang bekerjaya pada hari ini.

Malangnya, pada hari ini, ramai pula yang menolak poligami, walhal ia adalah rahmat daripada Allah untuk membantu kaum wanita yang tidak mampu untuk memenuhi permintaan para suami.

Wallahua’lam.