Return to site

MASUK SYURGA SEBELUM QIYAMAT?

August 10, 2022

Jabir bin 'Abdullah r.a.huma. berkata:

قَالَ رَجُلٌ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ أُحُدٍ أَرَأَيْتَ إِنْقُتِلْتُ فَأَيْنَ أَنَا قَالَ فِي الْجَنَّةِ فَأَلْقَى تَمَرَاتٍ فِي يَدِهِ ثُمَّ قَاتَلَ حَتَّى قُتِلَ

Maksudnya: Seorang lelaki telah bertanya kepada Nabi s.a.w. pada hari berlakunya Peperangan Uhud, "Pada pandanganmu, jika aku terbunuh (dalam perang ini), di manakah aku (selepas itu)?" Baginda menjawab, "Di dalam syurga." 

Maka, lelaki itu pun melempar buah-buah tamar yang berada di tangannya.Kemudian, dia berperang sehinggalah dia terbunuh (gugur syahid).

Hadis ini seolah-olah memberikan gambaran bahawa selepas lelaki itu gugur syahid, dia terus memasuki syurga. Walhal banyak nas yang lain menunjukkan bahawa kita hanya akan memasuki syurga selepas berlakunya Hari Qiyamat.

Jadi, adakah hadis ini membawa maksud yang sahabat tersebut hanya akanmemasuki syurga selepas Hari Qiyamat?

Jika itu maksudnya, ia akan menyebabkan percanggahan percanggahan pula denganbanyak lagi hadis lain yang memberikan gambaran bahawa memang ada para sahabat yang telah memasuki syurga, antaranya hadis Ja’far ath-Thayyar yang terputus kedua-dua belah tangannya dalam Perang Mu’tah sehingga Allah menggantikan kedua-dua belah tangannya yang terputus itu dengan sepasang sayap, lalu Allah menunjukkan kepada Nabi s.a.w. bahawa Ja’far sedang terbang di dalam syurga.

Demikian jugalah dengan kisah Ma’iz al-Aslamiy yang telah dijatuhkan hukuman hudud pada zaman Nabi s.a.w., lalu baginda mengkhabarkan kepada para sahabat bahawa baginda melihat beliau sedang berenang di dalam syurga.

Selain itu, terdapat banyak lagi hadis lain yang memberikan gambaran yang hampir sama.

Bagi mengharmonikan hadis-hadis ini, terdapat satu pendapat yangdinukilkan oleh Ibnul Qayyim di dalam kitabnya, ar-Ruh, yang menyatakan bahawa di dalam badan manusia yang terdapat sesuatu yang disebut sebagai nafs (jiwa); bukannya roh.

Mereka berhujahkan ayat-ayat al-Quran yang menyebut perkataan nafs (jiwa); bukannya roh, antaranya firman Allah:

كُلُّ نَفۡسࣲ ذَاۤىِٕقَةُ ٱلۡمَوۡتِۖ ثُمَّ إِلَیۡنَا تُرۡجَعُونَ

Maksudnya: "Setiap jiwa pasti akan merasai kematian. Kemudian, kepada Kamilah kalian akan kembali."

[Surah al-‘Ankabut (29) : 57]

Terdapat banyak ayat seperti ini di dalam al-Quran yang mana Allah tidak menggunakan perkataan roh, sebaliknya Allah menggunakan perkataan nafs (jiwa), walaupun tidak dinafikan bahawa di dalam hadis, memang ada disebutkan perkataan roh pada tempat yang juga boleh menggunakan perkataan nafs.

Maka, menurut pendapat ini, terdapat perbezaan antara roh dengan nafs, iaitu nafs adalah apa yang berada di dalam badan manusia, manakal roh pula terpisah daripada nafs dan jasad. Meskipun ketiga-tiganya mempunyai hubungan, tetapi roh adalah hakikat kita yang sebenar-benarnya.

Maka, menurut pendapat ini, hadis tersebut membawa maksud bahawa roh para sahabatlah yang berada di dalam syurga, tetapi mereka diberikan jasad yang lain.

Adapun selepas berlakunya Hari Qiyamat nanti, roh, nafs dan jasad akan bersatu di dalam syurga dan itulah kehidupan yang paling sempurna yang belum pernah dinikmati walaupun ketika kita hidup di dunia.

Tetapi ini hanyalah perbahasan para ‘ulamak berdasarkan perincian dan penelitian mereka untuk mengharmonikan nas-nas yang tampak bercanggah pada zahirnya. Maka, tidaklah mengapa jika tidak bersetuju dengannya.

Yang penting, kita hendaklah tetap meyakini bahawa para sahabat tersebut benar-benar berada di dalam syurga. Bagaimana hakikatnya? Allah sahajalah yang mengetahui.

Wallahu a’lam.