Return to site

MENGIKUT PENDAPAT DI LUAR EMPAT MAZHAB

November 6, 2022

Antara kelebihan Jami’ at-Tirmizi ialah al-Imam at-Tirmizi ada menukilkan pendapat para aimmah mujtahid selain daripada imam mazhab yang empat, seperti al-Imam ats-Tsauri, al-Imam ‘Abdullah bin al-Mubarak dan al-Imam Ishaq bin Rahuyah (guru kepada al-Imam al-Bukhari, al-Imam Muslim, al-Imam Abu Daud, al-Imam an-Nasa’i, al-Imam at-Tirmizi, al-Imam ad-Darimi dan ramai lagi), sehingga kita boleh mengetahui pendapat mereka.

Semua pendapat ini boleh diamalkan kerana al-Imam at-Tirmizi telah membawakan sanad yang kuat bagi semua pendapat imam-imam mujtahid ini di dalam kitab ‘Ilalnya.

Selain itu, pendapat yang disebutkan di dalam Jami’ at-Tirmizi itu juga ada ditulis di dalam kitab-kitab yang lain. Maka, ia membuktikan bahawa pendapat aimmah tersebut benar-benar ada dan bukannya bersumber daripada al-Imam at-Tirmizi semata-mata.

Tidak dinafikan, ada sebahagian asatizah yang berpendapat bahawa hanya pandangan empat mazhab sahaja yang boleh dijadikan pegangan atas alasan pandangan selainnya tidak terbina atas dasar yakin. Pendapat ini ada benarnya bagi mereka yang tidak belajar. Tetapi, bagi yang belajar, tahu tentang pendapat-pendapat ini dan ia meyakinkannya, maka tidak salah untuk berpegang dengannya, kerana mereka semua adalah imam mujtahid dan semua pendapat ini terbina di atas dalil.

Hanyasanya Allah tidak mentaqdirkan imam-imam tersebut menjadi ikutan jutaan manusia seperti empat mazhab, walhal mereka semua adalah imam-imam mujtahid yang diperakui keilmuwan mereka sejak dahulu sehingga kini.

Perumpamaannya adalah seperti orang yang berkahwin tetapi tidak dikurniakan anak, atau mempunyai anak, tetapi zuriatnya tidak kekal, sebaliknya terputus setelah beberapa generasi kerana ada dalam kalangan anak cucunya yang tidak direzekikan dengan anak. Adakah orang tidak mempunyai anak atau zuriat yang kekal bererti dia tidak berkahwin? Semestinya tidak.

Demikianlah halnya dengan imam-imam mujtahid ini. Ketiadaan murid yang ramai yang setia membawa dan menyebarkan pendapat mereka tidak bererti yang mereka bukanlah aimmah mujtahid.

Dan antara faedah apabila kita bersikap terbuka dengan pendapat-pendapat di luar dari mazhab yang empat ini ialah ada masanya kita akan dapati bahawa ada pendapat mereka yang lebih sesuai untuk diamalkan pada kemudian hari kerana lebih sesuai dengan maslahah semasa, meskipun ia mungkin tidak sesuai diamalkan sebelumnya.

Wallahua’lam.