Return to site

MENILAI SEMULA TARIKH LAHIR DAN WAFAT NABI S.A.W.

December 24, 2022

Menurut pendapat yang masyhur, Nabi s.a.w. dilahirkan dan wafat pada tanggal 12 Rabi’ul Awwal. Pendapat ini dipopularkan oleh Ibn Ishaq dan muridnya, Ibn Hisyam di dalam kitab sirah mereka. Tetapi, Ibn Ishaq tidak menyebutkan sanad bagi pendapat ini.

Lebih malang lagi, Ibn Ishaq adalah seorang perawi yang lemah di sisi para ‘ulamak rijal dan dituduh menganut ajaran Syi’ah, sebagaimana yang dikatakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani tentangnya:

إمام المغازي صدوق يدلس ورمي بالتشيع والقدر

Maksudnya: “Dia (Ibn Ishaq) adalah imam dalam ilmu maghazi (peperangan yang disertai oleh Nabi s.a.w.) yang bertaraf soduq (benar, tetapi hadisnya kurang tepat) dan suka melakukan tadlis (menyembunyikan kecacatan hadis). Dia juga dituduh menganut fahaman Syi’ah dan Qadariah.”

Al-Imam an-Nasa’i pula berkata yang Ibn Ishaq tidak kuat. Al-Imam Sulaiman at-Tamiy, Hisyam bin ‘Urwah, dan Yahyabin Sa’d al-Qatthon pula berkata yang Ibn Ishaq adalah seorang pendusta besar, sehingga Imam Malik pernah berkata bahawa Ibn Ishaq adalah:

دجال من الدجاجلة

Maksudnya: “Dia adalah seorang dajjal daripada sekalian banyak dajjal.”

Barangkali, kerana itulah tarikh kelahiran dan kewafatan Nabi s.a.w. dikaitkan dengan tanggal 12 haribulan keran 12 adalah angka keramat bagi penganut ajaran Syi’ah Imam Dua Belas.

Menurut pendapat yang lebih sahih dan kuat, Nabi s.a.w.dilahirkan pada Hari Isnin, tanggal 9 Rabi’ul Awwal, Tahun Gajah bersamaan dengan 21 April 571M. Antara ‘ulamak yang memilih pendapat ini ialah al-Humaidi, ‘Uqail, Yunus bin Yazid, Ibn ‘Abdillah, Ibn Hazm, Muhammad bin Musa al-Khuwarizmi, ‘Abdul Khattab Ibn Dihyah, Ibn Taimiyyah, Ibn al-Qayyim, Ibn Katsir, Ibn Hajar al-‘Asqalani dan Badruddin ‘Aini.

Pendapat ini turut disokong melalui penyelidikan yang dijalankan oleh Mahmud Pasya, ahli falaq terkenal Kerajaan Turki Utsmaniah, dengan menentukan tarikh gerhana matahari dan gerhana bulan yang berlaku sejak zaman Nabi s.a.w. sehingga ke zaman beliau.

Daripada hasil kajiannya itu, beliau mendapati bahawa Hari Isnin tidak mungkin bertepatan dengan 12 Rabi’ul Awwal. Sebaliknya, Hari Isnin pada Bulan Rabi’ul Awwal, tahun 571 M jatuh pada tanggal 9 hari bulan.

Antara penulis sirah mutakhir yang menyokong pendapat ini ialah asy-Syaikh Muhammad al-Khudhori Bik dalam Nurul Yaqin, asy-Syaikh Safiyyur Rahman al-Mubarakfuri di dalam ar-Rahiq al-Makhtum, al-‘Allamh Sibli Nu’mani di dalam Shiratun Nabi, Maulana Abul Kalam Azab di dalam Rasul Rahmat dan lain-lain.

Berhubung dengan tarikh kewafatan Nabi s.a.w. pula, terdapat beberapa fakta yang telah dipersetujui oleh para ‘ulamak iaitu:

1. Nabi s.a.w. wafat pada Hari Isnin, antara 1 hingga 12 hari bulan Rabi’ul Awwal, tahun ke-11 H.

2. 9 Zulhijjah iaitu Hari Wuquf di ‘Arafah dalam Haji Wada’ jatuh pada Hari Jumaat, dan Nabi s.a.w. wafat 81 hari setelah tarikh tersebut.

Jika kita melakukan kiraan berdasarkan dua fakta ini, dapatlah dirumuskan bahawa Nabi s.a.w. mungkin wafat pada tanggal 1, 6, 7, 8, atau 9 Rabi’ul Awwal. Daripada tarikh-tarikh ini, hanya tanggal 1 Rabi’ul Awwal sahaja yang bertepatan dengan riwayat tokoh utama sirah iaitu Musa bin ‘Uqbah dan ‘ulamak hadis terkenal iaitu al-Imam al-Laits bin Sa’d, Abu Nu’aim Fadhal bin Dukain dan lain-lain. Pendapat ini juga disokong oleh al-Imam Suhaili dan al-Khuwarizmi.

Maka, tarikh kewafatan Nabi s.a.w. yang paling tepat ialah 1 Rabi’ul Awwal tahun ke-11 H.

Oleh yang demikian, kita berharap semoga pihak berkuasa dapat melakukan penilaian semula terhadap tarikh kelahiran dan kewafatan Nabi s.a.w. kerana amatlah malang apabila kita menyambut Maulid Nabi s.a.w. pada tanggal 12 Rabi'ul Awwal yang bukan sahaja tidak terbina di atas fakta, malah didakwa pula ianya bertepatan dengan tarikh kewafatan Nabi s.a.w. yang juga merupakan satu dakwaan yang tidak berasas.

Wallahu a’lam.