Return to site

PAMERAN ARTIFAK RASULULLAH S.A.W.

September 27, 2022

Sebenarnya, apa yang didakwa sebagai artifak Nabi s.a.w. itu hanyalah replika yang tidak perlu dipercayai kerana tidak boleh dibuktikan keabsahannya dan tidak menambahkan keimanan pun jika mempercayainya.

Fikirkanlah, sedangkan hadis yang boleh disemak dengan memeriksa sanad dan matannya pun boleh direka oleh manusia, inikan pula objek-objek lain yang disandarkan atas nama orang terdahulu.

Maka, berpada dengan ajaran Nabi s.a.w. yang sabit dengan sunnah baginda itu lebih baik daripada teruja dengan objek-objek yang dikaitkan dengan Nabi s.a.w.

Malangnya, ada sebahagian pihak berkuasa yang menonjolkan hal ini seolah-olah ia adalah benar, sehingga orang awam berebut-rebut bertabarruk dengannya. Lalu, jika ada yang menegur hal ini, mereka dimusuhi sehingga dihalang daripada mengajar agama yang bertepatan dengan sunnah kepada masyarakat.

Walhal Nabi s.a.w.sendiri berwasiat supaya berpegang teguh dengan al-Quran dan as-Sunnah; bukan
dengan barang-barang lain tinggalannya.

Lalu, setelah teruja dengan replika yang didakwa sebagai artifak ini, mereka angkat pula simbol capal yang dikaitkan dengan pelbagai khasiat yang tidak pernah diajar oleh Nabi s.a.w. dan para sahabat pun tidak mengetahuinya.

Kemudian, mereka jadikan simbol ini sebagai hiasan sehingga ada yang meletakkannya di dalam masjid dan ditulis di atasnya kalimah “Allah” dan “Muhammad.”

Orang yang berakal akan sedar bahawa ini adalah tipu daya syaitan untuk menyesatkan manusia dan menghina Allah dan Rasulullah s.a.w. (kerana meletakkan nama Allah dan Rasulullah s.a.w. di atas simbol capal), sebagaimana yang telah berlaku kepada agama-agama terdahulu, seperti Hindu, Buddha, dan Kristian.

Semuanya bermula dengan pemujaan terhadap objek-objek yang dianggap mempunyai keramat. Kemudian, mereka cipta simbol sebelum diletakkan berhala pada simbol-simbol keagamaan tersebut.

Kebetulan pula ramai pada zaman ini yang mendakwa sering bertemu dengan Nabi s.a.w. di dalam mimpi dan secara sedar, lalu mendakwa yang wajah Nabi s.a.w. mirip dengan tokoh agama tertentu.

Kita bimbang suatu hari nanti akan datang satu generasi yang mencipta berhala tokoh tersebut dan mendakwa yang berhala itu adalah gambaran bagi bentuk fizikal Nabi s.a.w. – wal’iyazu billah - kerana demikianlah modus operandi syaitan untuk menyesatkan manusia sejak zaman-berzaman. Barangsiapa yang belajar daripada sejarah pasti menyedarinya.

Maka, benarlah kata Khalifah ‘Umar bin al-Khattab r.a.:

إنما تُنقَض عرى الإسلام عروة عروة إذا نشأ في الإسلام من لا يعرف الجاهلية 

“Ikatan Islam pasti akan akan terugkai satu demi satu apabila ada yang dibesarkan dalam Islam tanpa mengenali jahiliah.”

[Madarijus Salikin (1/343)] 

Wallahua’lam.