Return to site

PANDANGAN 'ULAMAK TENTANG 'AURATNYA PAHA LELAKI

August 24, 2022

Terdapat empat pendapat ‘ulamak tentang masalah paha lelaki iaitu sama ada ianya ‘aurat atau tidak:

1. Jumhur ‘ulamak, antaranya ‘Atho’, Malik bin Anas (dalam salah satu pendapatnya), ats-Tsauri, Abu Hanifah, asy-Syafi’i (dalam salah satu pendapatnya) dan Ahmad bin Hanbal (dalam salah satu pendapatnya) berpendapat bahawa paha lelaki adalah ‘aurat yang wajib ditutup.

2. Sebahagian lagi ‘ulamak, antaranya Daud az-Zohiri, Isma’il bin ‘Ulaiyah, Ibn Jarir at-Thobari, al-Istakhriy (salah seorang murid besar asy-Syafi’i), Ibn Hazmin al-Andalusi, Malik (dalam salah satu pendapatnya) dan Ahmad bin Hanbal (dalam salah satu pendapatnya) pula berpendapat bahawa paha lelaki bukanlah ‘aurat.

3. Sebahagian lagi ‘ulamak, antaranya ‘Atho (dalam salah satu pendapatnya), al-Auza’i dan Ibn Qutaibah pula berpendapat bahawa paha lelaki bukanlah ‘aurat di bilik mandi dan di tempat seumpamanya yang mana mengikut adat, mendedahkannya tidak dikira sebagai perbuatan pelik dan jelik, seperti nelayan di atas kapalnya, atau petani di sawahnya. Adapun di tempat-tempat lain seperti masjid atau majlis keramaian, paha lelaki adalah ‘aurat yang tidak boleh didedahkan.

4. Sebahagian lagi ‘ulamak, antaranya al-Bukhari, Ibnul Qayyim al-Jauziyyah, sebilangan besar para ashab Malik bin Ahnas, asy-Syafi’i (dalam salah satu pendapatnya), Ahmad bin Hanbal (dalam salah satu pendapatnya) dan Abu Hanifah (dalam salah satu pendapatnya) pula berpendapat bahawa paha lelaki adalah ‘aurat ringan yang tidak wajib ditutup. Maka, menurut pendapat ini, menutup paha hanyalah mustahab (dianjurkan) bagi lelaki.

Sesungguhnya, wujudnya banyak pendapat dalam masalah ini memberikan keringan kepada kita yang mungkin ada kalanya perlu mendedahkan paha pada situasi tertentu.

Selain itu, ia juga memberikan banyak kebaikan buat para pendakwah yang mahu menyebarkan Islam kepada masyarakat pedalaman yang sebelum ini mungkin jauh daripada nilai-nilai umat manusia yang bertamadun, sehingga memakai pakaian yang tidak menutup aurat dengan sempurna jika mengikut pendapat jumhur ‘ulamak.

Wallahu a'lam.