Return to site

PENDUSTA PASTI GAGAL

December 13, 2022

Allah s.w.t. berfirman:

قَالَ لَهُم مُّوسَىٰ وَیۡلَكُمۡ لَا تَفۡتَرُوا۟ عَلَى ٱللَّهِ كَذِبࣰا فَیُسۡحِتَكُم بِعَذَابࣲۖ وَقَدۡ خَابَ مَنِ ٱفۡتَرَىٰ

Maksudnya:

Musa berkata kepada mereka, “Celakalah kalian! Janganlah kalian berdusta atas nama Allah, kerana dengan sebab itu Dia akan membinasakan kalian dengan azab! Sesungguhnya, orang-orang yang berdusta itu pasti gagal!”

[Surah Thoha (20) :61]

Kalimah “iftara” (ٱفۡتَرَىٰ) di dalam ayat di atas mempunyai beberapa maksud, antaranya berdusta dengan perkataan, melakukan kezaliman, mengada-ngadakan sesuatu yang pada asalnya tidak ada (seperti melakukan bid’ah dalam agama), dan banyak lagi.

Ringkasnya, ia merujuk kepada kecurangan atau sebarang perbuatan atau perkataan yang bercanggah dengan kebenaran.

Ayat ini memberikan peringatan kepada kita betapa orang yang berdusta tidak akan selamat, kerana sekali sahaja kita didapati menipu, nescaya orang tidak akan mempercayai kita lagi buat selama-lamanya.

Pendustaan ini boleh dilakukan kepada Allah (tetapi Allah mengetahui yang kita cuba melakukan helah kepada-Nya), rasul, manusia, atau sesiapa sahaja. Dan sebesar-besar pendustaan adalah berdusta atas nama Allah seperti yang perbuatan sebahagian Kaum Yahudi yang menyandarkan ayat-ayat palsu kepada Allah, sebagaimana yang dirakamkan melalui firman-Nya:

فَوَیۡلࣱ لِّلَّذِینَ یَكۡتُبُونَ ٱلۡكِتَـٰبَ بِأَیۡدِیهِمۡ ثُمَّ یَقُولُونَ هَـٰذَا مِنۡ عِندِ ٱللَّهِ لِیَشۡتَرُوا۟ بِهِۦ ثَمَنࣰا قَلِیلࣰاۖ فَوَیۡلࣱ لَّهُم مِّمَّا كَتَبَتۡ أَیۡدِیهِمۡ وَوَیۡلࣱ لَّهُم مِّمَّا یَكۡسِبُونَ

Maksudnya:

Maka, celakalah orang-orang yang menulis kitab dengan kedua-dua belah tangan mereka, kemudian mereka berkata, “Kitab ini datang daripada Allah,” supaya mereka dapat membeli keuntungan dunia yang amat sedikit! Maka, celakalah mereka disebabkan apa yang telah mereka tulis dengan kedua-dua belah tangan mereka dan celakalah mereka disebabkan apa yang telah mereka kerjakan!

[Surah al-Baqarah (2) :79]

Dalam kalangan umat Islam, ada pula golongan yang suka mencipta hadis-hadis palsu atas nama Nabi Muhammad s.a.w. Walau pun niat mereka mungkin baik, seperti mahu menggalakkan orang ramai supaya beribadah, tetapi ia tetap tidak dapat menyelamatkan mereka daripada ancaman Nabi s.a.w.:

مَنْ كَذَبَ عَلَىَّ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya:

“Barangsiapa yang berdusta atas namaku, hendaklah dia mengambil tempat duduknya dari neraka.”

Demikianlah juga halnya dalam kehidupan seharian kita seperti peniaga yang menjual makanan yang telah rosak pasti tidak akan mendapat keuntungan daripada perniagaannya, dan pelajar yang menipu dalam peperiksaan pasti akan gagal apabila dia memasuki alam pekerjaan nanti.

Pemerintah yang menipu dan menzalimi rakyatnya pulapasti akan menerima hukuman yang berat. Kalaupun mereka terlepas daripada
hukuman dunia, Allah tidak akan melupakan segala kezaliman yang telah mereka
kerjakan semasa hayat mereka dahulu, sebagaimana yang telah Dia ingatkan:

وَلَا تَحْسَبَنَّ اللَّهَ غَافِلًا عَمَّا يَعْمَلُ الظَّالِمُونَ ۚ إِنَّمَا يُؤَخِّرُهُمْ لِيَوْمٍ تَشْخَصُ فِيهِ الْأَبْصَارُ (42) مُهْطِعِينَ مُقْنِعِي رُءُوسِهِمْ لَا يَرْتَدُّإِلَيْهِمْ طَرْفُهُمْ ۖ وَأَفْئِدَتُهُمْ هَوَاءٌ (43) 

Maksudnya:

Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Dia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku). (Dalam pada itu) mereka terburu-buru (menyahut panggilan ke padang Mahsyar) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata tidak berkelip, dan hati mereka tidak bersemangat (kerana bingung dan cemas).

[Surah Ibrahim (14) :42 – 43]

Kesimpulannya, daripada ayat ini, sedarlah kita bahawa hanya orang berjalan di atas kebenaran sahaja yang akan beroleh kejayaan.

Wallahu a’lam.