Return to site

RINGKASAN 'AURAT WANITA DI SISI EMPAT MAZHAB

August 24, 2022

1. Terdapat perbezaan antara ‘aurat wanita di dalam dan di luar solat.

2. Tentang ‘aurat wanita di luar solat:

  • Jumhur (majoriti) ‘ulamak berpendapat bahawa seluruh tubuh wanita adalah ‘aurat kecuali muka dan kedua-dua belah tangannya.
  • Sebahagian ‘ulamak seperti al-Imam Abu Hanifah dan al-Imam al-Muzani dari Mazhab Syafi’i berpendapat bahawa kedua-dua belah kaki (dari buku lali ke bawah) wanita juga bukan ‘aurat.
  • Jika seseorang wanita itu bekerja, dia juga perlu menutup ‘aurat sebagaimana yang disebutkan di atas. Tetapi sebahagian ‘ulamak seperti al-Imam Abu Yusuf dari Mazhab Hanafi berpendapat bahawa dimaafkan jika lengan dan betisnya terselak (dengan tidak disengajakan) ketika sedang bekerja.
  • Maka, ‘aurat wanita lebih terpelihara jika dia memakai seluar yang longgar. Jika dia hendak memakai kain, hendaklah dia memakai stokin yang panjang supaya betisnya tidak terselak ketika dia berjalan, membonceng motosikal dan seumpamanya.

3. Adapun ‘aurat wanita di dalam solat:

  • Di sisi jumhur, seluruh anggota badan wanita adalah ‘aurat kecuali mukanya sahaja.
  • Mazhab Hanafi pula berpendapat bahawa ‘aurat wanita di dalam solat lebih ringan jika tidak dilihat oleh bukan mahramnya. Maka, jika dia bersolat di dalam biliknya seorang diri, misalnya, harus untuknya bersolat dengan mendedahkan lengan dan betisnya.

4. Tentang pakaian wanita di dalam solat, jumhur berpendapat bahawa ianya memadai dengan menggunakan sehelai kain, jika ianya telah mampu untuk menutup ‘aurat.

Walau bagaimana pun, para ‘ulamak bersepakat bahawa menggunakan lebih banyak kain untuk bersolat itu lebih baik, seperti penggunaan telekung yang menjadi kebiasaan masyarakat nusantara.

5. Pada masa yang, lelaki juga perlu menjaga pandangan. Jika lelaki terlihat mana-mana ‘aurat wanita, dia hendaklah segera mengalihkan pandangannya.

Adapun jika melihat muka dan tangannya, hukumnya harus, melainkan jika ia menaikkan syahwatnya atau menimbulkan sebarang fitnah lain.

6. Punca perbezaan pendapat ini berlaku kerana tidak terdapat sebarang hadis sahih yang menjelaskan batasan ‘aurat wanita secara terperinci.

Adapun hadis riwayat al-Imam Abu Daud dengan sanadnya tentang kisah Asma’ binti Abu Bakr r.a.huma. memakai pakaian yang nipis ketika bertemu dengan Rasulullah s.a.w., sehingga dikatakan baginda menegurnya dengan bersabda:

يا أسماء إن المرأة إذا بلغت المحيض لم يصلح أن يُرى منها إلا هذا وهذا. وأشار إلى وجهه وكفيه

“Wahai Asma’, sesungguhnya apabila seseorang wanita itu telah didatangi haid, tidak boleh diperlihatkan daripadanya melainkan bahagian ini dan ini” sambil baginda menunjukkan isyarat kepada wajah baginda dan kedua-dua belah tangan baginda.”

[Sunan Abi Daud (1535)]

Hadis ini dha’if atas beberapa sebab:

  • Kerana sanadnya terputus sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Imam Abu Daud sendiri dengan berkata:

هَذَا مُرْسَلٌ خَالِدُ بْنُ دُرَيْكٍ لَمْ يُدْرِكْ عَائِشَةَ رضى الله عنها

“Hadis ini mursal (kerana) Khalid bin Duraik tidak sempat bertemu dengan ‘A’isyah r.a.ha.”

  • Kerana pada sanadnya terdapat seorang perawi dha’if bernama Sa’id bin Basyir atau yang dikenali sebagai Abu ‘Abdur Rahman al-Basri.
  • Kerana pada sanadnya terdapat dua orang perawi yang mudallis (menyembunyikan sanad yang sebenar) iaitu Qatadah dan al-Walid bin Muslim.
  • Selain itu, matannya juga bermasalah kerana Asma’ binti Abu Bakr adalah isteri kepada az-Zubair al-‘Awwam, saudara perempuan bagi ‘A’iysah dan yang lebih penting, beliau adalah anak Abu Bakr as-Siddiq r.a.hum ajma’in. Adalah tidak munasabah bagi seorang wanita yang terkenal dengan ketokohannya dalam kebijaksaan dan agama seperti Asma’ r.a.ha. memakai pakaian yang nipis, lebih-lebih lagi untuk bertemu dengan Nabi s.a.w.

7. Maka, nas yang paling jelas perihal batasan ‘aurat wanita adalah firman-Nya di dalam Surah an-Nur, ayat ke-31, yang antaranya menyebut:

وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّوَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ

“Dan katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman supaya menundukkan pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka…”

[Surah an-Nur (24) : 31]

Frasa “Kecuali yang zahir daripadanya” itulah yang menjadi ruang lingkup ikhtilaf dalam kalangan ‘ulamak bagi menentukan bahagian apakah yang zahir iaitu yang boleh dianggap sebagai biasa untuk dilihat oleh bukan mahram.

Wallahua’lam.