Return to site

SAHABAT PUN BUAT BID'AH?

August 24, 2022

Daripada Rifa'ah bin Rafi' az-Zuraqi, beliau berkata:

كُنَّا يَوْمًا نُصَلِّي ورَاءَ النبيِّ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ، فَلَمَّا رَفَعَ رَأْسَهُ مِنَ الرَّكْعَةِ قالَ : سَمِعَ اللَّهُ لِمَن حَمِدَهُ ، قالَ رَجُلٌ ورَاءَهُ : رَبَّنَا ولَكَ الحَمْدُ حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ، فَلَمَّا انْصَرَفَ، قالَ : مَنِ المُتَكَلِّمُ قالَ : أنَا، قالَ : رَأَيْتُ بضْعَةً وثَلَاثِينَ مَلَكًا يَبْتَدِرُونَهَا أيُّهُمْ يَكْتُبُهَا أوَّلُ

Pada suatu hari, kami bersolat di belakang Nabi s.a.w. Tatkala baginda telah mengangkat kepalanya daripada posisi ruku' seraya menyebut:

سَمِعَ اللَّهُ لِمَن حَمِدَهُ

"Allah mendengar sesiapa yang memuji-Nya," 

seorang lelaki di belakang baginda berkata:

رَبَّنَا ولَكَ الحَمْدُ حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ

"Wahai Tuhan kami, bagi Engkaulah segala puji dengan pujian sebanyak-banyaknya dan sebaik-baiknya yang penuh dengan keberkatan di dalamnya."

Setelah selesai bersolat, baginda bertanya, "Siapakah yang menyebut ucapan tadi?"

Lelaki itu menjawab, "Saya."

Baginda pun bersabda, "Aku telah melihat sekitar 30 malaikat berlumba-lumba menulis kalimat itu."

[Sahih al-Bukhari (799)]

Ada yang memahami hadis di atas sebagai dalil bahawa boleh menokok tambah dalam urusan ‘ibadah, kerana sahabat di dalam hadis tersebut telah menambah lafaz dalam solat yang tidak diajar oleh Nabi s.a.w. sebelumnya.

Ini adalah pemahaman yang kurang tepat kerana:

1. Peristiwa di atas berlaku ketika zaman tasyri’ (zaman pensyari’atan) yang mana syari’at masih belum sempurna, sehingga apabila para sahabat melakukan sesuatu amalan yang belum dicontohkan oleh Nabi s.a.w. sebelumnya, ia boleh ditegur secara langsung oleh baginda, sama ada amalan tersebut boleh dikerjakan atau tidak.

2. Amalan yang direka oleh sahabat di dalam hadis di atas mendapat pengesahan daripada Allah s.w.t. yang dapat dilihat daripada perbuatan para malaikat berebut-rebut menulis kalimat yang diucapkan oleh sahabat tersebut.

Kerana itulah Nabi s.a.w. mengetahui yang rekaan tersebut diredhai oleh Allah (kerana para malaikat hanya bertindak mengikut arahan Allah) sehingga baginda pun mengesahkannya. Adapun setelah Nabi s.a.w. wafat, siapakah lagi yang mampu memberikan pengesahan kepada amalan yang direka oleh manusia, sedangkan wahyu telah terhenti?

3. Terdapat juga peristiwa lain yang mana Nabi s.a.w. tidak mengiktiraf perubahan dalam ibadah yang dilakukan oleh sahabat meskipun ia hanya perubahan yang kecil, iaitu doa sebelum tidur yang diajarkan oleh Nabi s.a.w. kepada al-Bara’ bin ‘Azib r.a., sebagaimana yang diriwayatkan oleh beliau, bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda:

إِذَا أتَيْتَ مَضْجَعَكَ ، فَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلَاةِ ، ثُمَّ اضْطَجِعْ علَى شِقِّكَ الأيْمَنِ ، ثُمَّ قُلْ: اللَّهُمَّ أسْلَمْتُ وجْهِي إلَيْكَ ، وفَوَّضْتُ أمْرِي إلَيْكَ ، وأَلْجَأْتُ ظَهْرِي إلَيْكَ ، رَغْبَةً ورَهْبَةً إلَيْكَ ، لا مَلْجَأَ ولَامَنْجَا مِنْكَ إلَّا إلَيْكَ ، اللَّهُمَّ آمَنْتُ بكِتَابِكَ الذي أنْزَلْتَ ، وبِنَبِيِّكَ الذي أرْسَلْتَ ، فإنْ مُتَّ مِن لَيْلَتِكَ ، فأنْتَ علَى الفِطْرَةِ ، واجْعَلْهُنَّ آخِرَ ما تَتَكَلَّمُ بهِ . قالَ: فَرَدَّدْتُهَا علَى النبيِّ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ ، فَلَمَّا بَلَغْتُ : اللَّهُمَّ آمَنْتُ بكِتَابِكَ الذي أنْزَلْتَ ، قُلتُ : ورَسولِكَ ، قالَ: لَا ، ونَبِيِّكَ الذي أرْسَلْتَ

"Apabila engkau hendak mendatangi tempat tidurmu, ambillah wudhu' sebagaimana engkau ambil wudhu' untuk solat. Kemudian, berbaringlah mengereng sebelah kanan. Kemudian, ucapkanlah:

اللَّهُمَّ أسْلَمْتُ وجْهِي إلَيْكَ ، وفَوَّضْتُ أمْرِي إلَيْكَ ، وأَلْجَأْتُ ظَهْرِي إلَيْكَ ، رَغْبَةً ورَهْبَةً إلَيْكَ ، لا مَلْجَأَ ولَامَنْجَا مِنْكَ إلَّا إلَيْكَ ، اللَّهُمَّ آمَنْتُ بكِتَابِكَ الذي أنْزَلْتَ ، وبِنَبِيِّكَ الذي أرْسَلْتَ 

'Ya Allah ya Tuhan kami, aku serahkan wajahku (rohku) kepada-Mu, aku serahkan sepenuhnya urusanku kepada-Mu, aku sandarkan belakangku (memohon perlindungan-Mu) kepada-Mu dalam penuh pengharapan dan rasa takut kepada-Mu. Tidak ada tempat kembali dan ruang untuk melepaskan diri daripada-Mu melainkan dengan kembali (bertaubat) kepada-Mu. Ya Allah ya Tuhan kami, aku beriman dengan kitab-Mu yang telah Engkau turunkan dan dengan Nabi-Mu yang telah Engkau utuskan.' 

Lalu, jika engkau meninggal dunia pada malam itu, nescaya engkau mati dalam keadaan fitrah (dalam Agama Islam). Maka, jadikanlah ia sebagai kalimat terakhir yang engkau ucapkan (pada setiap malam)."

Al-Bara' melanjutkan kisahnya, "Maka, aku pun mengulang kalimat tersebut kepada Nabi s.a.w., sehinggalah apabila sampai kepada lafaz:

اللَّهُمَّ آمَنْتُ بكِتَابِكَ الذي أنْزَلْتَ

'Ya Allah ya Tuhan kami, aku telah beriman dengan Kitab-Mu yang telah Engkau turunkan,'

aku kemudiannya berkata:

ورَسولِكَ 

'dan (dengan) Rasul-Mu...'

Baginda pun lantas menegur, 'Bukan.. 'dan (dengan) Nabi-Mu yang telah Engkau utuskan.'" 

[Sahih al-Bukhari (247)]

Di dalam hadis di atas, al-Bara’ hanya menggantikan lafaz “Nabi” kepada “Rasul,” tapi baginda melarangnya meskipun kedudukan Rasul lebih tinggi daripada kedudukan Nabi. Tidakkah perubahan ini boleh dianggap sebagai “Bid’ah Hasanah” sebagaimana yang difahami oleh sebahagian masyarakat kita?

Jadi, kenapa Nabi s.a.w. melarangnya sedangkan maksudnya lebih baik?

Jawapannya, adalah kerana Nabi s.a.w. hanya bertindak mengikut wahyu; bukan mengikut penilaian akal baginda semata-mata. Maka, apabila sesuatu “Rekaan” itu diredhai oleh Allah, sebagaimana yang diceritakan di dalam hadis pertama di atas, Nabi s.a.w. pun mengiktirafnya. Pengiktirafan Nabi s.a.w. inilah yang disebut oleh ‘ulamak sebagai "Sunnah Taqririyyah;" bukan "Bid’ah Hasanah."

Sebaliknya, jika sesuatu “Rekaan” itu tidak diredhai oleh Allah s.w.t., maka Nabi s.a.w. tidak akan memandai-mandai mengiktiraf sendiri amalan yang tidak diiktiraf oleh Allah s.w.t. melalui perantaraan wahyu.

Maka, jika Nabi s.a.w. sendiri pun tidak berani memandai-mandai mengiktiraf amalan rekaan para sahabat dalam keadaan baginda adalah sebaik-baik dan sealim-‘alim manusia dan para sahabat pula adalah sebaik-baik umat Islam sehingga Allah sendiri berulang kali menyebut di dalam al-Quran yang Allah meredhai para sahabat, siapalah kita berbanding dengan Nabi s.a.w. dan para sahabat?

Adakah kita lebih berkelayakan untuk mengiktiraf amalan rekaan manusia biasa (yang sudah tentu kedudukannya lebih rendah daripada para sahabat) sedangkan Nabi s.a.w. pun hanya berpada dengan pengiktirafan Allah melalui panduan wahyu?

Jadi, sebaik-baiknya, kita berpadalah dengan petunjuk sunnah, lebih-lebih lagi dalam masalah ‘ibadah yang bersifat ta’abbudiyyah.

Wallahua’lam.