Return to site

SETIAP PENYAKIT ADA PENAWARNYA

August 10, 2022

Rasulullah s.a.w. bersabda:

Maksudnya: "Tidaklah Allah turunkan sesuatu penyakit melainkan Dia pasti turunkan juga penawar untuknya. Sesiapa yang mengetahui penawar itu pasti mengetahuinya dan sesiapa yang tidak mengetahuinya pasti tidak mengetahuinya."

[Musnad Ahmad (3447) : Syaikh Syu'aib al-Arna'uth menilainya sebagai Sahih Lighairih di dalam Takhrij Musnad Ahmad (3578)]

PENJELASAN

1. Hadis ini bermaksud yang semua penyakit ada penawarnya, sama ada kita tahu atau tidak, atau barangkali kita mengetahuinya, tapi tidak tepat cara penggunaannya sehingga ia tidak menjadi penawar.

2. Hadis ini sepatutnya mendorong umat Islam untuk menguasai bidang perubatan iaitu dengan mempelajarinya secara khusus; bukan dengan melantik diri sendiri sebagai doktor tidak bertauliah.

3. Hadis ini datang dengan lafaz "syifa’" (penawar) yang membawa maksud ianya benar-benar memberikan kesembuhan kepada kita tanpa sebarang kesan sampingan yang lain.

Di dalam riwayat lain, ia datang dengan lafaz "Dawa’" (ubat) yang bermaksud ia tidak semestinya memberikan kesembuhan secara total. Boleh jadi ia hanya mampu menahan sakit atau memberikan kelegaan, tetapi menyebabkan kesan sampingan yang lain.

Maka, selagi mana kita tidak menemui penawar (syifa’) bagi sesuatu penyakit, ertinya maksud hadis ini belum tercapai.

4. Sesetengah‘ulamak berpendapat bahawa maksud "menurunkan" di sini adalah “mengadakan.” Tetapi Allah menggunakan istilah "menurunkan" bagi menunjukkan yang Allah memerintahkan para malaikat untuk menguruskan hal ini.

Meskipun Allah berkuasa untuk melakukan segala-galanya yang Dia kehendaki, tetapi Allah sengaja memerintahkan para malaikat untuk melakukan tugas-tugas tertentu kerana Allah mahu mengajar kita kaedah mengurus atau mentadbir sesuatu organisasi.

5. Penglibatan para malaikat juga menyedarkan kita bagaimana sesuatu penyakit yang berasal daripada virus yang halus boleh memberikan kesan yang besar kepada manusia, dan kenapa ada pula sebahagian manusia yang terpelihara daripada ditimpa penyakit yang berasal daripada virus yang sama.

Ertinya, walaupun kita tidak menafikan sebab-sebab zahir, tetapi kita juga tidak seharusnya mengabaikan sebab-sebab yang tersembunyi, iaitu pada hakikatnya, semuanya berlaku atas kehendak Allah dan perintah-Nya kepada para malaikat untuk menimpa sesuatu penyakit kepada kita atau memelihara kita daripada penyakit tersebut.

Wallahu a’lam.