Return to site

SUNNAH TASYRI'IYYAH DAN GHAIR TASYRI'IYYAH

November 29, 2022

Sunnah ia segala yang terbukti benar sandarannya kepada Nabi s.a.w. berupa perkataan, perbuatan dan pengakuan baginda. Istilah ini lebih khusus berbanding hadis, kerana hadis merujuk kepada segala yang disandarkan kepada Nabi s.a.w. daripada perkataan, perbuatan, pengakuan, akhlaq dan sifat fizikal baginda, baik sandaran itu benar mahupun tidak.

Sunnah ini terbahagi pula kepada dua jenis iaitu tasyri’iyyah dan ghair tasyri’iyyah.

Sunnah Tasyri’iyyah bermaksud ajaran Nabi s.a.w. yang disyari’atkan oleh agama, sama ada amalan tersebut dianjurkan atau dilarang. Maka, Sunnah Tasyri’iyyah mempunyai kesan dari sudut mendapat pahala atau dosa.

Contoh Sunnah Tasyri’iyyah ialah solat (fardhu dan sunat), puasa (wajib dan sunat), zakat, haji, penghalalan jual beli dan pengharaman riba.

Sunnah Ghair Tasyri’iyyah pula merujuk kepada perkara-perkara yang memang pernah dilakukan oleh Nabi s.a.w. tetapi ia tidak mempunyai kaitan dengan agama. Sebaliknya, Nabi s.a.w. melakukan perbuatan tersebut kerana ia sesuai dengan tabi’at baginda sebagai manusia atau selari dengan budaya masyarakat Arab atau keadaan semasa.

Contohnya, Nabi s.a.w. memakan roti kerana memang itulah makanan yang lazim bagi masyarakat ‘Arab pada zaman tersebut. Maka, jika kita melakukan hal yang sama, hukumnya hanya harus tanpa diberikan sebarang pahala, kerana memakan roti bukanlah sesuatu yang disyari’atkan oleh agama.

Apa yang disyari’atkan ialah makan dengan tangan kanan, membaca Basmalah sebelum makan, dan bertahmid selepas makan.

Kaedah paling mudah untuk membezakan antara dua jenis sunnah ini ialah dengan melihat perbuatan orang-orang kafir. Jika orang-orang kafir pun turut melakukan perbuatan tersebut, maka ia adalah Sunnah Ghair Tasyri’iyyah.

Misalnya, Kaum Musyrikin pada zaman Nabi s.a.w. juga memakai jubah dan serban, kerana memang itulah pakaian masyarakat ‘Arab. Dari sini, dapatlah diketahui bahawa memakai jubah dan serban bukanlah Sunnah Tasyri’iyyah.

Barangkali ada yang terkeliru dengan sebuah hadis riwayat al-Imam at-Tirmzi, dikatakan bahawa Nabi s.a.w. bersabda:

إِنَّ فَرْقَ مَا بَيْنَنَا وَبَيْنَ الْمُشْرِكِينَ الْعَمَائِمُ عَلَى الْقَلَانِسِ

Maksudnya: “Sesungguhnya, perbezaan antara kita (Kaum Muslimin) dengan Kaum Musyrikin ialah (kita memakai) serban di atas kopiah.”

Sekiranya hadis ini sahih (sedang hakikatnya, ia dha’if kerana dua orang perawinya tidak dikenali), ianya merujuk pakaian seragam tentera Islam ketika berdepan dengan tentera bukan Arab seperti Rom dan Parsi. Ertinya, hadis ini berguna untuk membezakan antara pakaian seragam tentera Islam dengan tentera Rom dan Parsi, kerana masyarakat bukan Arab tidak memakai serban. Jadi, ia bukannya bermaksud pemakaian serban itu sesuatu yang disyari’atkan.

Akibat tidak tahu membezakan antara dua jenis sunnah ini, kita dapati ramai masyarakat awam yang menumpukan aspek pemakaian serban dan jubah berbanding Sunnah Tasyri’iyyah yang lain. Demikian juga halnya dengan mereka yang menggunakantongkat tanpa sebarang keperluan. Sedangkan masyarakat Arab pada zaman dahulu menggunakan tongkat untuk keperluan tertentu seperti untuk memukul haiwan berbisa atau alat bantuan berjalan kerana telah tua.

Keadaan ini berbeza dengan mereka yang benar-benar mempelajari agama, sehingga mereka tahu sunnah mana satukah yang lebih utama untuk ditekankan pengamalannya iaitu sunnah yang berkaitan dengan amal ‘ibadah seperti sifat solat Nabi s.a.w., zikir-zikir yang baginda amalkan dan sebagainya.

Namun begitu, secara umumnya, tidaklah salah untuk kita memakai jubah dan serban, lebih-lebih lagi jika ia dilakukan atas dasar cinta kepada Nabi s.a.w.

Tetapi, ada masanya hukum mengamalkan Sunnah Ghair Tasyri’iyyah boleh berubah daripada harus daripada haram, iaitu jika ia mengundang kemudaratan kepada kita, seperti sengaja menggunakan pedang untuk berperang dengan tentera kafir yang menggunakan senjata moden.

Wallahu a'lam.