Return to site

TIDAK PERLU HADKAN BILANGAN ANAK

August 7, 2022

Setiap anak lahir dengan taqdir yang berbeza, sehingga tidak ada sesiapa pun yang mengetahui anak yang mana satukah yang paling banyak membawa keberkatan dan paling bermanfaat untuk manusia.

Maka, jika dipandang pada sudut itu, sedarlah kita bahawa tidak mengehadkan bilangan anak itu sebenarnya lebih baik.

Hal ini sama seperti anjuran Nabi s.a.w. supaya kita menghargai setiap butiran makanan yang dimasukkan ke dalam mulut kita, kerana kita tidak tahu butiran manakah yang mengandungi keberkatan.

Al-Imam Muslim telah meriwayatkan dengan sanadnya bahawa Anas bin Malik r.a. berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا أَكَلَ طَعَامًا لَعِقَ أَصَابِعَهُ الثَّلَاثَ، قَالَ: وَقَالَ: إِذَا سَقَطَتْ لُقْمَةُ أَحَدِكُمْ فَلْيُمِطْ عَنْهَا الْأَذَى وَلْيَأْكُلْهَا، وَلَا يَدَعْهَا لِلشَّيْطَانِ، وَأَمَرَنَا أَنْ نَسْلُتَ الْقَصْعَةَ قَالَ: فَإِنَّكُمْ لَا تَدْرُونَ فِي أَيِّ طَعَامِكُمُ الْبَرَكَةُ

Maksudnya: Bahawasanya apabila Rasulullah s.a.w. telah selesai makan, baginda akan menjilat ketiga-tiga jarinya (yang digunakan untuk makan), lalu baginda bersabda, “Apabila suapan salah seorang daripada kalian terjatuh, hendaklah dia bersihkan kotoran atau habuk daripada makanan yang terjatuh itu, dan segera memakannya. Janganlah biarkan makanan itu untuk dimakan oleh syaitan.”

Baginda juga menyuruh kami membersihkan (menghabiskan) sisa makanan di dalam pinggan; sabda baginda, “Kerana sesungguhnya, kalian tidak tahu pada bahagian manakah makanan kalian yang mengandungi keberkatan.”

Wallahu a’lam.