August 10, 2022

Rasulullah s.a.w. bersabda:

وَمَنْ رَآنِي فِي الْمَنَامِ فَقَدْ رَآنِي فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لَا يَتَمَثَّلُ فِي صُورَتِي

Maksudnya: "Barangsiapa yang telah melihatku di dalam mimpi, maka dia memang benar-benar telah melihatku kerana sesungguhnya syaitan tidak boleh menyerupai bentuk (tubuh dan rupa)ku."

Ada sebahagian ‘ulamak yang mendakwa bahawa mereka bertemu dengan Nabi s.a.w. secara yaqazah iaitu dalam keadaan sedar. Tetapi, pertemuan tersebut bukanlah berlaku di alam musyahadah (dunia nyata), kerana jika ia berlaku di alam musyahadah, nescaya orang lain juga boleh melihatnya.

Sebaliknya, menurut mereka, ia berlaku di alam mitsal, iaitu alam yang wujud antara alam musyahadah dan alam barzakh yang mana di dalam alam itu, mereka boleh melihat gambaran kepada sesuatu.

Tetapi, ini hanyalah pandangan ‘ulamak yang tidak terbina di atas nas yang sorih.

Selain itu, ia juga tidak memberikan jaminan bahawa apa yang mereka lihat itu benar-benar Nabi s.a.w. kerana baginda hanya memberikan jaminan yang syaitan tidak boleh menyerupai baginda di dalam mimpi, tetapi tidak ketika yaqazah, sebagaimana sabda baginda di dalam hadis di atas.

Maka, barangsiapa yang bermimpi bertemu dengan seseorang yang mengaku bahawa dia adalah Nabi s.a.w., hendaklah dia berhati-hati kerana boleh jadi itu hanyalah syaitan yang datang dengan rupa lain, tetapi mendakwa yang dia adalah Nabi s.a.w.

Demikian jugalah halnya dengan orang yang menyangka dirinya bertemu dengan Nabi s.a.w. secara yaqazah, kerana boleh jadi itu hanyalah tipu daya syaitan kepadanya.

Wallahu a’lam.