Return to site

ZIKIR DAN DOA AJARAN NABI S.A.W. ITU LEBIH BAIK

September 7, 2022

Mutakhir ini, muncul kembali kecenderungan masyarakat untuk menyebarkan dan bersungguh-sungguh mengamalkan zikir-zikir dan doa-doa rekaan manusia biasa yang tidak sabit dengan sunnah Nabi s.a.w.

Meskipun maksud sebahagian zikir dan doa itu tidak salah, tetapi semua Muslim beriman dan mengakui bahawa Nabi s.a.w. adalah sebaik-baik contoh teladan yang diutuskan untuk mengajar agama kepada manusia.

Firman Allah s.w.t.:

لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِیرَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةࣱ لِّمَن كَانَ یَرۡجُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلۡیَوۡمَ ٱلۡـَٔاخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِیرࣰا

“Sesungguhnya, telah ada untuk kalian pada Rasulullah itu teladan yang baik bagi sesiapa yang mengharapkan (pahala dan keredhaan) Allah dan (balasan yang baik pada) Hari Akhirat kelak, dan bagi sesiapa yang mahu berzikir dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya.”

[Surah al-Ahzab (33) : 21]

Maka, sudah semestinya zikir-zikir dan doa-doa yang diajar oleh baginda lebih baik daripada apa yang diajarkan oleh manusia biasa, biar siapa pun dia, baik ustaz, tok guru, mahupun ‘ulamak, kerana mereka semua tidak lebih tinggi daripada Nabi s.a.w.

Masyarakat perlu kembali difahamkan dan diingatkan dengan hakikat ini, jangan sampai suatu hari nanti, umat Islam menganggap yang amalan yang diajarkan oleh tok gurunya itu lebih utama dan lebih baik untuknya berbanding apa yang diwahyukan oleh Allah s.w.t. kepada Nabi s.a.w. untuk diamalkan oleh manusia.

Jika sudah sampai ke tahap itu, maka sangat hampirlah kita dengan apa yang disifatkan oleh Allah s.w.t. kepada Ahlul Kitab yang menjadikan para pendeta mereka sebagai “Tuhan-Tuhan” yang berkuasa untuk mencipta amalan mereka sendiri dengan menghalalkan apa yang Allah haramkan dan mengharamkan apa yang Allah halalkan.

Allah s.w.t.berfirman:

ٱتَّخَذُوٓا۟ أَحْبَارَهُمْوَرُهْبَٰنَهُمْ أَرْبَابًۭا مِّن دُونِ ٱللَّهِ وَٱلْمَسِيحَ ٱبْنَ مَرْيَمَ وَمَآ أُمِرُوٓا۟ إِلَّا لِيَعْبُدُوٓا۟ إِلَٰهًۭا وَٰحِدًۭا ۖ لَّآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ۚ سُبْحَٰنَهُۥ عَمَّا يُشْرِكُونَ

“Mereka menjadikan rahib-rahib (ahli ibadat) dan para pendeta (‘ulamak) mereka sebagai Tuhan-Tuhan (yang dipuja) di samping Allah (dan mereka juga beribadah kepada) al-Masih (‘Isa) bin Maryam. Sedangkan mereka tidak diperintahkan melainkan untuk beribadah kepada satu sembahan semata-mata (iaitu Allah). Tidak ada yang berhak disembah selain Dia. Maha Suci Dia dari apa yang mereka sekutukan (dengan Dirinya).”

[at-Taubah (9): 31]

Wallahua’lam.