Return to site

3 GOLONGAN TASAWWUF

October 29, 2025

Menurut Sayyid Maulana Abul A’la Maududi (1321 – 1399 H), golongan tasawwuf boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan yang mana sikap kita terhadap mereka pun mesti berbeza.

Kumpulan pertama adalah ulama yang dikaitkan atau dikenali sebagai ahli tasawwuf, sedangkan hakikatnya beliau benar-benar mengikut petunjuk al-Quran dan as-Sunnah sehingga tidak ada sedikit pun permusuhan antara kita dengan ajaran tasawwuf seperti ini.

Hanyasanya beliau dianggap sebagai pengikut tasawwuf kerana lebih menekankan perihal penjagaan hati. Sesungguhnya, inilah ahli sufi sejati yang wajib dibela.

Kumpulan kedua pula merujuk kepada ahli tasawwuf yang sudah terpengaruh dengan ajaran-ajaran asing, sehingga amalannya bercampur-baur antara yang menepati sunnah dengan yang menepati ajaran di luar Islam.

Golongan tasawwuf seperti ini banyak terdapat dalam masayarakat Islam dan kita mestilah menanganinya dengan sebaik-baik cara supaya tangan mereka dapat kembali dipimpin ke jalan yang benar, kerana hakikatnya, mereka juga mahukan keredhaan Allah, tetapi tersilap langkah tanpa disedari, barangkali kerana terlalu percaya kepada seseorang yang zahirnya nampak seperti orang soleh.

Kumpulan ketiga pula adalah Kaum Sufi yang mempunyai kepercayaan, fahaman dan amalan yang bercanggah sama sekali dengan apa yang telah diajarkan oleh Rasulullah s.a.w.

Lebih teruk lagi, mereka percaya yang fahaman Islam versi merekalah yang paling benar, manakala ajaran Islam yang sebenar pula dianggap sebagai fahaman orang awam yang belum mencapai hakikat Islam yang dikehendaki oleh Allah.

Tasawwuf yang seperti ini adalah satu ajaran yang mesti ditentang olehumat Islam dan mesti dihapuskan supaya ajaran Islam yang murni itulah yang tersebar dalam kalangan masyarakat.

Dan inilah juga salah satu peranan yang dimainkan oleh Jama’ah Islami pimpinan Maulana Maududi iaitu berjihad menentang Kaum Sufi yang terpesong dari landasan Islam.

Wallahu a’lam.