Sebahagian ‘ulamak, antaranya Syaikh Muhammad ‘Abduh dan Sayyid Qutb berpendapat yang Nabi s.a.w. tidak pernah disihir, kerana jika benarlah Nabi s.a.w. pernah disihir, maka ia membenarkan tuduhan orang-orang kafir, sebagaimana firman-Nya:
وَقَالَ الظَّالِمُونَ إِنْ تَتَّبِعُونَ إِلَّا رَجُلًا مَسْحُورًا
Dan orang-orang yang zalim itu berkata, “Tidaklah kalian ikut melainkan seorang lelaki yangtelah disihir.”
[Surah al-Furqan (25) : 8]
Maka, menurut ‘ulamakt ersebut, dakwaan bahawa Nabi s.a.w. pernah disihir bercanggah dengan al-Quran dan dikhuatiri boleh menjejaskan keabsahan wahyu yang diturunkan oleh Allah s.w.t kepada baginda.
Namun begitu, jumhur ‘ulamak berpendapat bahawa Nabi s.a.w. sememangnya pernah disihir. Tetapi, kesan sihir yang menimpa Nabi s.a.w. tidaklah terlalu melampau sehingga menyebabkan baginda meninggalkan kewajipan baginda atau melupakan al-Quran.
HIKMAH
Hikmahnya adalah untuk menunjukkan bahawa sihir itu benar-benar wujud dan ia boleh berlaku dengan keizinan Allah s.w.t. Maka, jika Allah tidak mengizinkan sihir untuk berlaku, orang biasa pun boleh terselamat daripadanya. Tetapi, jika Allah mengizinkannya untuk berlaku, manusia seperti Nabi s.a.w. pun tidak dapat melepaskan diri daripadanya.
Maka, benarlah firman Allah s.w.t.:
وَمَا هُمْ بِضَارِّينَ بِهِ مِنْ أَحَدٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ
“Dan tidaklah mereka yang melakukan perbuatan sihir itu dapat menimpakan sebarang kemudaratan dengannya kepada sesiapa pun melainkan dengan keizinan Allah.”
[Surah al-Baqarah (2) : 102]
Ayat ini juga menjadi petunjuk bukanlah semua yang berlaku di atas muka bumi ini bererti Allah redha dengan perbuatan tersebut. Maka, tidak benarlah golongan yang menggunakan tangkal seperti dalam bentuk cincin, lakaran tertentu atau simbol capal, lalu mereka mendakwa bahawa perbuatan mereka itu tidak syirik dan tidak berdosa kerana meyakini bahawa semuanya berlaku dengan keizinan Allah semata-mata, kerana jika itulah alasannya, nescaya orang yang melakukan perbuatan sihir juga boleh
menggunakan alasan yang sama.
Ketika itu, adakah kita mahu berkata yang perbuatan sihir itu tidak syirik kerana meyakini bahawa Allah sahajalah yang mengizinkannya berlaku? Semestinya tidak.
Sebaliknya, biar apa pun niatnya, sihir tetap termasuk dalam tujuh dosa besar yang dilarang secara khusus oleh Nabi s.a.w. antaranya kerana kesannya yang sangat dahsyat kepada diri sendiri dan orang lain, sebagaimana yang diriwayatakan oleh al-Bukhari di dalam Sahihnya:
حَدَّثَنَا عَبْدُ الْعَزِيزِبْنُ عَبْدِ اللَّهِ، حَدَّثَنَا سُلَيْمَانُ، عَنْ ثَوْرِ بْنِ زَيْدٍ، عَنْ أَبِي الْغَيْثِ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ " اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الْمُوبِقَاتِ ". قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ قَالَ " الشِّرْكُ بِاللَّهِ، وَالسِّحْرُ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلاَّ بِالْحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا وَأَكْلُ مَالِ الْيَتِيمِ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ الْمُحْصَنَاتِ الْمُؤْمِنَاتِ الْغَافِلاَتِ ".
Telah menceritakan kepada kami ‘Abdul ‘Aziz bin ‘Abdullah, telah menceritakan kepada kami Sulaiman, daripada Tsaur bin Zaid, daripada Abul Ghaits, daripada Abu Hurairah, daripada Nabi s.a.w., sabdanya, “Jauhilah tujuh dosa besar yangmembinasakan.”
Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah tujuh dosa itu?”
Jawab baginda, “Mensyirikkan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan sebab yang dibenarkan (oleh syarak), memakan harta anak yatim, melarikan diri daripada medan tempur pada hari peperangan, dan melemparkan tuduhan (zina atau sebarang perbuatan keji) terhadap wanita beriman yang sentiasa menjaga dirinya dan tidak pernah terfikir pun untuk melakukan perbuatan tersebut.”
[Sahih al-Bukhari (6857)]
Selain itu, peristiwa ini juga menjadi bukti bahawa Nabi s.a.w. hanyalah manusia biasa dan bukan Tuhan, kerana jika baginda adalah Tuhan atau jelmaan Tuhan sebagaimana yang didakwa oleh para pengikut Sufi Batini, nescaya sihir tidak dapat memudaratkan baginda, kerana mustahil sihir yang berlaku dengan campur tangan syaitan itu boleh memudaratkan Allah.
Maka, peristiwa ini boleh menjadi peringatan kepada Islam supaya tidak berlebih-lebihan dalam memuja Nabi s.a.w. sehingga mengangkat baginda kepada kedudukan Tuhan sebagaimana yang telah berlaku kepada umat Nabi-Nabi terdahulu.
Wallahua’lam.