Kaum Brelvi mempunyai madrasah sufi yang besar di India. Mereka mempunyai karangan tafsir dan syarahan hadis tersendiri yang besar bilangannya. Malangnya, fahaman mereka terhadap nas banyak yang batil.
Misalnya, Kaum Brelvi berpendapat yang kita dianjurkan untuk menyambut Haul iaitu hari ulang tahun kematian ulama atau syaikh mereka, kerana Nabi s.a.w. bersabda yang apabila telah selesai hisab seorang mukmin di alam barzakh, malaikat akan berkata kepadanya:
نَمْ كَنَوْمَةِ الْعَرُوسِ
Maksudnya:
“Tidurlah (engkau) seperti tidurnya pengantin.”
Maka, berdasarkan hadis inilah mereka meraikan Haul atau yang mereka namakan sebagai ‘Urs (Pesta Perkahwinan) kerana menurut fahaman mereka, pada hari ini, roh ulama atau syaikh itu sebenarnya sedang menyambut hari perkahwinan di alam barzakh.
Kerana itulah juga mereka menghias kubur ulama atau syaikh tersebut dengan bunga-bungaan persis majlis perkahwinan.
Walhal, Nabi s.a.w. dan para sahabat sendiri pun tidak pernah meraikan haul, apatah lagi menyambutnya sebagai hari keramaian.
Maka, apabila Nabi s.a.w. dan para sahabat yang lebih memahami hadis ini daripada kita pun tidak menyambut Haul, demikianlah juga kita tidak perlu menyambutnya.
Wallahu a’lam.