Return to site

KELEBIHAN AYAT AL-KURSIY

August 7, 2022

Ayat al-Kursiy merujuk kepada ayat ke-255 daripadaSurah al-Baqarah, yang mana Dia berfirman:

ٱللَّهُ لَاۤ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلۡحَیُّ ٱلۡقَیُّومُۚ لَا تَأۡخُذُهُۥ سِنَةࣱ وَلَا نَوۡمࣱۚ لَّهُۥ مَا فِی ٱلسَّمَـٰوَ ٰ⁠تِ وَمَا فِی ٱلۡأَرۡضِۗ مَن ذَا ٱلَّذِی یَشۡفَعُ عِندَهُۥۤ إِلَّا بِإِذۡنِهِۦۚ یَعۡلَمُ مَا بَیۡنَ أَیۡدِیهِمۡ وَمَا خَلۡفَهُمۡۖ وَلَا یُحِیطُونَ بِشَیۡءࣲ مِّنۡ عِلۡمِهِۦۤ إِلَّا بِمَا شَاۤءَۚ وَسِعَ كُرۡسِیُّهُ ٱلسَّمَـٰوَ ٰ⁠تِ وَٱلۡأَرۡضَۖ وَلَا یَـُٔودُهُۥ حِفۡظُهُمَاۚوَهُوَ ٱلۡعَلِیُّ ٱلۡعَظِیمُ

Maksudnya: Allah, tidak ada yang berhak disembah melainkan Dia Yang Maha Hidup lagi Maha Berdiri Dengan Sendiri. Tidaklah Dia dihinggapi rasa mengantuk walau sedikit pun, apatah lagi tertidur.

Bagi-Nyalah segala yang berada di sekalian langit dan bumi. (Jadi) siapakah gerangannya yang boleh memberikan syafa’at (pertolongan) di sisi-Nya tanpa keizinan-Nya (sedangkan syafa’at itu sendiri pun milik-Nya)?

Dia juga mengetahui apa yang berada di hadapan (masa kini) dan di belakang (masa hadapan) mereka, sedang mereka tidak memiliki walau sedikit pun dari ilmu-Nya secara menyeluruh, melainkan sekadar apa Dia kehendaki (untuk mereka mengetahuinya sahaja).

Alangkah luasnya Kerusi-Nya meliputi sekalian langit dan bumi sedang Dia tidak berasa terbeban sedikit pun dalam memelihara kedua-duanya, dan Dialah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.

Kalimah “Kerusi” di dalam ayat ini merujuk kepada kerajaan Allah yang mana seluruh langit dan bumi berada di dalamnya. Jadi, apabila Allah berfirman bahawa Dia menguasai Kerusi, ertinya Allah menguasai sekalian alam.

Ayat al-Kursiy adalah ayat al-Quran yang paling agung sebagaimana yang sabit dengan hadis riwayat al-Imam Muslim dengan sanadnya daripada Ubai bin Ka’ab r.a. katanya:

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَا أَبَا الْمُنْذِرِ أَتَدْرِي أَىُّ آيَةٍ مِنْ كِتَابِ اللَّهِ مَعَكَ أَعْظَمُ‏.‏ قَالَ قُلْتُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ‏.‏ قَالَ‏ يَا أَبَا الْمُنْذِرِ أَتَدْرِي أَىُّ آيَةٍ مِنْ كِتَابِ اللَّهِ مَعَكَ أَعْظَمُ‏.‏ قَالَ قُلْتُ اللَّهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَىُّ الْقَيُّومُ.‏ قَالَ فَضَرَبَ فِي صَدْرِي وَقَالَ‏ وَاللَّهِ لِيَهْنِكَ الْعِلْمُ أَبَا الْمُنْذِرِ

Maksudnya: Rasulullah s.a.w. bertanya, “Wahai Abu al-Munzir (gelaran bagi Ubai bin Ka’ab), adakah engkau tahu ayat apakah yang paling agung di dalam al-Quran?” Ubai bin Ka’ab berkata, “Aku menjawab, ‘Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.’”

Baginda bertanya lagi, “Wahai Abu al-Munzir, adakah engkau tahu, ayat apakah yang paling agung di dalam al-Quran?” Ubai bin Ka’ab berkata, “Aku menjawab, ‘Ayat al-Kursiy.’”

Ubai bin Ka'ab selanjutnya berkata, "Baginda pun menepuk dadaku seraya bersabda, "Demi Allah, semoga Dia menganugerahkan engkau ilmu wahai Abu al-Munzir.'”

Di dalam riwayat al-Imam Ahmad, terdapat tambahan sabda Nabi s.a.w.:

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ إِنَّ لَهَا لِسَانًا وَشَفَتَيْنِ تُقَدِّسُ الْمَلِكَ عِنْدَ سَاقِ الْعَرْشِ

Maksudnya: “Demi jiwaku yang berada di dalam Tangan-Nya, sesungguhnya Ayat al-Kursiy itu mempunyai lisan dan dua bibir yang sentiasa mensucikan (Allah) Yang Maha Berkuasa di sisi ‘Arasy.”

[Musnad Ahmad (20763): Dinilai sebagai Sahih oleh asy-Syaikh Ahmad Syakir di dalam ‘Umdat at-Tafsir (1/308) dan asy-Syaikh al-Albani di dalam Sahih at-Targhib (1471)]

Antara kelebihan Ayat al-Kursiy ialah ia memberikan jaminan syurga kepada orang yang istiqamahnya membacanya setiap kali selesai Solat Fardhu, sebagaimana sabda Nabi s.a.w.:

مَنْ قَرَأَآيَةَ الْكُرْسِيِّ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلاةٍ مَكْتُوبَةٍ لَمْ يَمْنَعْهُ مِنْ دُخُولِ الْجَنَّةِ إِلا أَنْ يَمُوتَ

Maksudnya: "Barangsiapa yang membaca Ayat al-Kursiy pada penghujung setiap Solat Fardhu, nescaya tidak ada apa pun yang menghalangnya daripada memasuki syurga melainkan kerana dia belum meninggal dunia."

[as-Sunan al-Kubra li an-Nasa’i (9532) : Dinilai sebagai Hasan oleh asy-Syaikh Muqbil al-Wadi’i di dalam as-Sahih al-Musnad (478)]

Berdasarkan hadis di atas, disunatkan untuk kita membaca Ayat al-Kursiy pada bila-bila masa selepas selesai menunaikan solat fardhu. Maka, jika kita tidak sempat untuk duduk dan berzikir selepas solat, boleh sahaja kita membaca Ayat al-Kursiy sambil berjalan, ketika berada di atas kenderaan dan sebagainya, kerana waktunya luas.

Selain itu, Ayat al-Kursiy juga sunat dibaca sebelum tidur, sebagai perlindungan daripada syaitan sebagaimana yang sabit di dalam hadis sahih riwayat al-Imam al-Bukhari:

إِذَاأَوَيْتَ إِلَى فِرَاشِكَ فَاقْرَأْ آيَةَ الْكُرْسِيِّ لَنْ يَزَالَ عَلَيْكَ مِنَ اللَّهِ حَافِظٌ وَلاَ يَقْرَبُكَ شَيْطَانٌ حَتَّى تُصْبِحَ

Maksudnya: “Apabila engkau telah berada di atas tempat tidurmu, bacalah Ayat al-Kursiy. Nescaya, Allah akan sentiasa menjagamu dan syaitan tidak akan mendekatimu sehinggalah engkau memasuki waktu pagi.”

Wallahu a'lam.