Rasulullah s.a.w. bersabda:
أحَبُّ الأعْمالِ إلى اللهِ تَعالَى أدْوَمُهاوإنْ قَلّ
"Amalan yang paling dicintai oleh Allah Ta'ala adalah yang paling berterusan dilakukan meskipun amalan itu sedikit."
Hadis ini menunjukkan bahawa sebarang ibadah yang dilakukan secara berterusan itu lebih baik, meskipun kuantiti ibadah itu sedikit, berbanding ibadah yang dilakukan dalam kuantiti yang banyak tetapi tidak konsisten.
Misalnya, apabila kita telah biasa melakukan Solat Sunat Rawatib (solat sunat yang mengiringi Solat Fardhu), hendaklah kita menjaganya agar dilakukan secara berterusan. Pada masa yang sama, kita berusaha menambah solat-solat sunat yang lain sedikit demi sedikit.
Tetapi, jika tidak mampu untuk menunaikan semua Solat Sunat Rawatib, kita pilihlah solat sunat yang paling afdhol seperti Solat Sunat Sebelum Subuh, Solat Witir dan Solat Dhuha, sebagaimana yang diceritakan oleh ‘A’isyah r.a.ha.:
لَمْ يَكُنِ النبيُّ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ علَى شيءٍ مِنَ النَّوَافِلِ أشَدَّ منه تَعَاهُدًا علَى رَكْعَتَيِ الفَجْرِ
Maksudnya: “Tidak ada Solat Nawafil yang lebih dijaga oleh Nabi s.a.w. daripada Solat Sunat Dua Raka’at Sebelum Subuh.”
Di dalam hadis lain, Nabi s.a.w. berpesan kepada Abu Hurairah r.a.:
أَوْصَانِي خَلِيلِي بثَلَاثٍ لا أدَعُهُنَّ حتَّى أمُوتَ صَوْمِ ثَلَاثَةِ أيَّامٍ مِنكُلِّ شَهْرٍ، وصَلَاةِ الضُّحَى ونَوْمٍ علَى وِتْرٍ
Maksudnya: “Kekasihku (Rasulullah s.a.w.) berpesan kepadaku supaya tidak meninggalkan tiga amalan ini sehinggalah aku mati, iaitu berpuasa tiga hari dalam setiap bulan, Solat Dhuha dan tidur dalam keadaan bersolat witir.”
Yang menjadi kesilapan sebahagian daripada kita ialah mendahulukan solat-solat sunat yang kurang afdhol atau yang diperselisihkan oleh ‘ulamak akan hukumnya seperti Solat Sunat Tasbih atau Solat Sunat Sebelum Maghrib.
Lebih teruk lagi jika terus meninggalkan semua solat sunat apabila tidak mampu menunaikan semua solat sunat.
Demikianlah juga halnya dengan kerja-kerja kebajikan seperti derma. Adalah lebih baik jika kita istiqamah menderma pada setiap hari dalam jumlah yang kecil (kerana setiap sedekah itu akan ditulis pada hari yang berbeza) berbanding menderma dalam jumlah yang besar sekali seumur hidup; melainkan jika kita mampu menderma dalam kuantiti yang banyak secara konsisten.
Wallahu a’lam.