Return to site

KESESATAN YANG DISEBARKAN MELALUI HADIS

September 11, 2022

Seluruh umat Islam mengakui kedudukan al-Quran dan hadis sebagai sumber hukum utama dalam Islam. Oleh yang demikian, ramailah yang mengambil kesempatan daripada kedua-dua sumber hukum ini dengan memutar belit maknanya mengikut kesesuaian dan kehendak ajaran mereka.

Misalnya, Nabi s.a.w. pernah bersabda:

قَدْ كُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ فَقَدْ أُذِنَ لِمُحَمَّدٍ فِي زِيَارَةِ قَبْرِ أُمِّهِ فَزُورُوهَا فَإِنَّهَا تُذَكِّرُ الآخِرَةَ

“Sesungguhnya, aku pernah melarang kalian daripada menziarahi kubur. Demi sesungguhnya, telah diizinkan kepada Muhammad untuk menziarahi kubur ibunya. Maka, ziarahilah kubur kerana sesungguhnya, ia mengingatkan kepada akhirat.”

Hadis ini sahih, tetapi kumpulan ajaran sesat menjadikan hadis ini sebagai dalil untuk melakukan pelbagai ritual di kubur, termasuklah berqasidah, menari, bersujud, mencium batu nisan, mengambil berkat dari tanah kubur dan berdoa kepada ahli kubur, atas alasan Nabi s.a.w. memberikan kebenaran kepada kita untuk menziarahi kubur.

Walhal, Nabis.a.w. telah menjelaskan tujuan menziarahi kubur adalah untuk mengingatkan kita kepada akhirat. Adab-adab ziarah kubur dan pantang larang lain berkaitan kubur juga telah diajarkan oleh baginda, seperti memberi salam dan mendoakan kesejahteraan untuk ahli kubur, tidak membuat binaan di atas kubur dan tidak menjadikan kubur sebagai tempat ibadah.

Malangnya, semua hadis lain yang bertentangan dengan pendirian dan amalan mereka, akan ditakwil dengan takwilan yang jauh, atau ia tidak disebut sama sekali, kerana jelas maknanya memang menunjukkan bahawa apa yang mereka lakukan itu bersalahan dengan sunnah Nabi s.a.w.

Ironinya, mereka mendakwa bahawa mereka cintakan Nabi s.a.w., walhal yang sebenarnya, mereka cintakan kubur, kerana mereka memuja semua kubur yang dianggap sebagai keramat termasuklah kubur para ‘ulamak yang menghukum amalan mereka sebagai sesat, seperti kubur al-Imam Ibn Taimiyyah.

Apa yang membimbangkan kita adalah kerana mereka menguasai media-media di internet, sehingga kesesatan ini mula dianggap sebagai sesuatu yang normal dalam masyarakat Islam yang tidak peka kerana jahil.

Sesungguhnya, ini adalah ujian kepada kita. Maka, menjadi kewajipan kepada kita yang berilmu untuk menjelaskan kesesatan mereka kepada masyarakat melalui semua saluran yang ada, mengikut kapasiti masing-masing.

Wallahua’lam.