Return to site

MENJAWAB TUDUHAN TERHADAP AL-IMAM ABU HANIFAH

December 10, 2023

Al-Imam Abu Hanifah atau nama sebenarnya Nu’man bin Tsabit dilahirkan pada tahun 80 Hijriah (660 Masihi) dan wafat pada tahun 150 Hijriah (767 Masihi) ketika berumur 70 tahun. Beliau berbangsa Parsi dan sempat hidup pada zaman Khilafah Umaiyah dan Khilafah ‘Abbasiah.

Beliau terkenal sebagai seorang yang mempunyai akhlaq yang tinggi sehingga digelar sebagai al-Imam al-A’zhom (Imam Teragung). Beliau juga terkenal sebagai seorang yang ‘alim dalam ilmu fiqh di ‘Iraq dan dianggap sebagai pemimpin bagi Ahl ar-Ra’yi.

Al-Imam Abu Hanifah telah mempelajari ilmu hadis seawal usia belasan tahun lagi. Selepas itu, beliau mendalami ilmu fiqh melalui gurunya, Hammad bin Abu Sulaiman selama 18 tahun. Al-Imam Abu Hanifah sangat mengasihi gurunya sehinggakan beliau menamakan anaknya dengan nama “Hammad,” sempena nama gurunya itu.

Dan selepas Hammad meninggal dunia, beliaulah yang kemudiannya menggantikan tempat gurunya mengajar ilmu fiqh kepada masyarakat.

Al-Imam Abu Hanifahjuga termasuk dalam kalangan tabi’in kerana sempat bertemu dengan beberapa orang sahabat Nabi. Antaranya, beliau pernah bertemu dengan Anas bin Malik r.a. beberapa kali.

Namun kebanyakan ulama berpendapat yang al-Imam Abu Hanifah tidak meriwayatkan sebarang hadis daripada Anas bin Malik r.a. kerana beliau sempat bertemu dengan Anas ketika beliau masih kecil sahaja. Masakan tidak, Anas wafat pada tahun 93 Hijriah, sedangkan Abu Hanifah lahir pada tahun 80 Hijriah.

Meskipun demikian, ketokohan al-Imam Abu Hanifah di dalam bidang hadis tidak pernah diragui. Buktinya dapat dilihat melalui hadis-hadis yang beliau kumpulkan di dalam Musnad Abi Hanifah setebal 21 jilid yang semuanya mempunyai sanad yang bersambung.

Maka, tidak hairanlah kenapa ramai ulama yang memuji ketokohan al-Imam Abu Hanifah. Antaranya, Yahya bin Ma’in pernah berkata:

كَانَ أَبُو حَنِيفَةَ ثِقَةً لَا يُحَدِّثُ بِالْحَدِيثِ إِلَّا بِمَا يَحْفَظُهُ وَلَا يُحَدِّثُ بِمَا لَا يَحْفَظُ

Maksudnya:

“Abu Hanifah adalah seorang yang tsiqah. Beliau tidak meriwayatkan hadis melainkan yang berada dalam hafalannya sahaja dan beliau tidak meriwayatkan hadis yang tidak beliau hafal.”

‘Abdullah bin al-Mubarak pula berkata:

لَوْلَا أَنَّ اللَّهَ أَعَانَنِي بِأَبِي حَنِيفَةَ وَسُفْيَانَ كُنْتُ كَسَائِرِ النَّاسِ

Maksudnya:

“Kalaulah bukan kerana Allah menolongku dengan Abu Hanifah dan Sufyan (ats-Tsauri), aku pasti menjadi sama sahaja seperti orang lain.”

Hajar bin ‘Abdul Jabbar pula pernah bercerita:

قِيلَ لِلْقَاسِمِ بْنِ مَعْنٍ: تَرْضَى أَنْ تَكُونَ مِنْ غِلْمَانِ أَبِي حَنِيفَةَ؟ قَالَ: مَا جَلَسَ النَّاسُ إِلَى أَحَدٍ أَنْفَعَ مِنْ مُجَالَسَةِ أَبِي حَنِيفَةَ. وَقَالَ لَهُ الْقَاسِمُ: تَعَالَ مَعِي إِلَيْهِ، فَلَمَّا جَاءَ إِلَيْهِ لَزِمَهُ وَقَالَ: مَا رَأَيْتُ مِثْلَ هَذَا 

Maksudnya: Telah dikatakan kepada al-Qasimbin Ma’n, “Adakah engkau redha jika engkau menjadi salah seorang hamba Abu Hanifah?” Al-Qasim menjawab, “Tidak ada majlis yang lebih bermanfaat bagi manusia daripada berada di dalam majlis Abu Hanifah.”

Al-Qasim kemudiannya berkata, “Marilah kita pergi ke majlisnya bersama-sama denganku.” Setibanya lelaki itu ke majlis Abu Hanifah dan melaziminya, dia berkata, “Aku tidak pernah melihat majlis ilmu seperti ini!”

Al-Imam asy-Syafi’i juga pernah berkata:

قِيلَ لِمَالِكٍ: هَلْ رَأَيْتَ أَبَا حَنِيفَةَ؟ قَالَ: نَعَمْ. رَأَيْتُ رَجُلًا لَوْ كَلَّمَكَ فِي هَذِهِ السَّارِيَةِ أَنْ يَجْعَلَهَا ذَهَبًا لَقَامَ بِحُجَّتِهِ

Maksudnya:

Telah ditanya kepada Malik, “Adakah engkau pernah melihat Abu Hanifah?” Beliau menjawab, “Ya, aku telah melihat seorang lelaki (iaitu Abu Hanifah) yang mana jika dia berbicara denganmu tentang kain ini, dia boleh menjadikannya emas dengan kekuatan hujahnya sahaja.”

‘Abdullah bin al-Mubarak pula berkata:

مَا رَأَيْتُ رَجُلًا أَوْقَرَ فِي مَجْلِسِهِ وَلَا أَحْسَنَ سَمْتًا وَحِلْمًا مِنْ أَبِي حَنِيفَةَ

Maksudnya:

“Aku tidak pernah melihat seorang lelaki yang lebih berwibawa dalam majlisnya, yang lebih baik dalam karismanya dan sifat berlapang dadanya daripada Abu Hanifah.”

Syarik pula berkata:

كَانَ أَبُو حَنِيفَةَ طَوِيلَ الصَّمْتِ كَثِيرَ الْعَقْلِ

Maksudnya:

“Abu Hanifah adalah seorang yang pendiam tetapi mempunyai akal yang mendalam.”

Cukuplah sebahagian kecil pujian para ulama terhadap al-Imam Abu Hanifah sebagai bukti ketokohannya dalam ilmu dan amal.

Adapun tuduhan sebahagian pihak terhadap al-Imam Abu Hanifah, kononnya al-Imam Ahmad bin Hanbal pernah mengeluarkan fatwa mendapat pahala jika membenci al-Imam Abu Hanifah atau kononnya al-Imam Sufyan ats-Tsauri pernah mengkafirkan al-Imam Abu Hanifah, kesemua tuduhan ini telah pun dijawab di dalam kitab al-Kamil fi Dhu’afa’ ar-Rijal, jilid ke-8 yang mana al-Imam al-Jurjani (pengarang kitab ini) telah menjelaskan bahawa kesemua atsar yang berisi tuduhan tersebut datang daripada para perawi yang bermasalah.

Adapun label “Murjiah” yang diberikan kepada al-Imam Abu Hanifah, ia sebenarnya merujuk kepada Murjiah Sunnah; bukannya Firqah Murjiah Bid’ah.

Bezanya, Firqah Murjiah Bid’ah meyakini bahawa iman itu berpada dengan ucapan semata-mata tanpa berhajat kepada sebarang pembuktian melalui amalan.

Di sisi firqah ini, barangsiapa yang mengucap kalimah syahadah, dia telah menjadi mukmin dan kekal dengan kedudukan itu meskipun jika dia melakukan dosa-dosa besar seperti meninggalkan solat, membunuh orang lain dan menghalalkan darah manusia. Apabila dia mati kelak, dia tidak akan diazab dan tetap dimasukkan ke dalam syurga.

Ini adalah ‘aqidah yang jelas lagi nyata kesesatannya.

Adapun Murjiah Sunnah, mereka memahami maksud iman dari segi bahasa iaitu merujuk kepada keyakinan yang berada di dalam hati dan dilafazkan dengan lisan. Meskipun demikian, jika seseorang melakukan dosa, dia akan tetap diazab oleh Allah s.w.t. mengikut kadar dosanya.

Inilah Murjiah Sunnah yang menjadi pegangan sebahagian ulama Ahlus Sunnah wal Jama’ah. Ia hanyalah perbezaan dari segi istilah; bukan dari segi maksud.

Adapun dakwaan kononnya al-Imam al-Bukhari tidak meriwayatkan hadis daripada al-Imam Abu Hanifah kerana beliau adalah seorang yang dha’if, ini adalahtuduhan yang dangkal, kerana al-Imam al-Bukhari juga tidak meriwayatkan hadis daripada al-Imam asy-Syafi’i.

Adakah ini bererti yang al-Imam asy-Syafi’i juga seorang perawi yang dha’if di sisi al-Imam al-Bukhari?

Maka,menjadi kewajipan bagi setiap orang yang beriman untuk bercakap mengikut kadar ilmunya sahaja dan bertanya kepada yang berilmu sebelum mengulas mengikut hawa nafsu.

Wallahu a’lam.

Tulisan ini adalah ringkasan dan olahan semula daripada sebuah e-buku berjudul Imam Abu Hanifah - Menelusi Riwayat Pujian & Kritikan Terhadapnya tulisan Nik Syaiful bin Nik Jeffri yang dikarang berdasarkan rakaman kuliah Maulana (Dr) Muhammad Asri bin Yusoff di atas.