Return to site

MENOLAK HADIS KERANA 'ILLAH

November 10, 2022

Tujuan para ‘ulamak mengkritik sesebuah hadis bukanlah untuk merendahkan mana-mana kitab hadis, jauh sekali untuk merendahkan ‘ulamak yang mengarangnya. Tetapi ia dilakukan untuk menjaga kedudukan Nabi s.a.w. kerana antara tujuan pembukuan hadis adalah untuk memberikan gambaran sebenar yang selayaknya dengan rupa dan peribadi Nabi s.a.w.

Maka, jika terdapat sebarang hadis yang kelihatan bercanggah dengan tujuan pembukuan hadis, nescaya akan ada ‘ulamak yang mengkritiknya. Hakikatnya, inilah sebahagian daripada perbahasan dalam ilmu ‘ilal hadis (kecacatan-kecacatan tersembunyi dalam hadis) yang jika dibahaskan secara santai, ia juga mampu difahami oleh masyarakat awam.

Misalnya, terdapat sebuah hadis yang menyatakan bahawa Nabi s.a.w. wafat dalam keadaan baginda masih mempunyai hutang dengan Yahudi yang dicagar dengan baju besi baginda, sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari dengan sanadnya daripada ‘A’isyah r.a.ha. katanya:

تُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَدِرْعُهُ مَرْهُونَةٌ عِنْدَ يَهُودِيٍّ بِثَلاَثِينَ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ‏

Maksudnya: “Rasulullah s.a.w. telah wafat dalam keadaan baju besinya digadaikan kepada seorang Yahudi sebagai cagaran untuk membeli tiga puluh so’ gandum.”

Ada ‘ulamak yang mempertikaikan kesahihan hadis ini kerana menurut mereka, padanya terdapat beberapa ‘ilal (kecacatan tersembunyi), antaranya:

1. Nabi s.a.w. adalah seorang yang kaya. Baginda hanya miskin ketika mula-mula berhijrah ke Madinah. Jadi, apakah tujuannya Nabi s.a.w. berhutang semata-mata untuk membeli makanan asasi?

2. Diandaikan Nabi s.a.w.berhutang saat baginda susah iaitu ketika mula-mula berhijrah ke Madinah, ertinya Nabi s.a.w. melewat-lewatkan bayaran hutang sehinggalah baginda wafat.

Anehnya, tidak terdapat sebarang riwayat yang menyebut bahawa ada Yahudi yang menghina baginda sebagai seorang yang culas membayar hutang, walhal ia adalah modal celaan yang agak kukuh.

Selain itu, ia juga bercanggah dengan ajaran Nabi s.a.w. yang menyuruh kita supaya segera membayar hutang.

3. Kali terakhir Yahudi berada di Madinah adalah pada tahun kelima Hijrah. Selepas itu, Yahudi telah dihalau keluar dari Madinah. Kerana itulah Syaikh Syu’aib al-Arna’uth terpaksa membuat andaian barangkali baginda berhutang dengan Yahudi di Khaibar. Malangnya, andaian ini tidak mempunyai sebarang dalil sokongan dan agak jauh dari logik akal.

4. Di dalam hadis lain, diriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. meninggalkan bekalan makanan selama setahun untuk setiap isteri baginda, sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari dengan sanadnya daripada ‘Abdullah bin ‘Umar r.a.huma. katanya:

فَكَانَ يُعْطِي أَزْوَاجَهُ كَلَّ سَنَةٍ مِائَةَ وَسْقٍ ثَمَانِينَ وَسْقًا مِنْ تَمْرٍ وَعِشْرِينَ وَسْقًا مِنْ شَعِيرٍ

Maksudnya: “Dahulu, baginda memberikan 100 wasq kepada isteri-isterinya pada setiap tahun (iaitu) lapan puluh wasq tamar dan 20 wasq gandum.”

Jadi, untuk apa baginda menggadaikan baju besi baginda yang merupakan salah satu kelengkapan perang yang sangat penting kepada musuh Islam?

Maka, para ‘ulamak yang menolak hadis ini berpendapat bahawa perawi telah tersilap. Barangkali yang sebenarnya, Nabi s.a.w. pernah berhutang dengan Yahudi ketika baginda mula-mula berhijrah ke Madinah, dan hutang itu telah lama diselesaikan oleh baginda. Tetapi, perawi terkeliru sehingga mendakwa Nabi s.a.w. masih mempunyai hutang dengan Yahudi meskipun setelah baginda wafat.

Wallahu a'lam.