Return to site

SANAD MUWATTHA' IMAM MALIK TELAH DISEMPURNAKAN

March 10, 2026

Kitab al-Muwattha’ karya Imam Malik sering menjadi rujukan utama dalam ilmu hadis. Walaupun terdapat sebahagian hadis di dalamnya yang diriwayatkan secara irsal (tanpa menyebut perawi terakhir) atau inqitha’ (terputus sanad), para ulama telah menegaskan bahawa sanad hadis-hadis tersebut sebenarnya tetap bersambung.

Untuk membuktikan hal ini, al-Imam Ibn ‘Abdil Bar menulis sebuah karya khusus berjudul at-Tamhid lima fi al-Muwattha’ min al-Ma’ani wa al-Asanid. Dalam kitab tersebut, beliau menghimpunkan semua sanad Imam Malik yang dikatakan terputus, lalu menunjukkan bahawa ia sebenarnya lengkap dan bersambung.

Pandangan ini turut disokong oleh Asy-Syaikh Waliyullah ad-Dahlawi. Beliau berpendapat bahawa sanad-sanad yang kelihatan terputus dalam Muwattha’ boleh ditemui dalam kitab lain seperti Sunan ad-Darimi.

Malah, beliau menambah bahawa hadis-hadis dalam Jami’ at-Tirmizi, Sunan an-Nasa’i, dan Sunan Abi Daud boleh dianggap sebagai mustakhrajat bagi Muwattha’ — iaitu riwayat yang sama tetapi melalui sanad berbeza oleh pengarang terkemudian.

Dengan adanya pelbagai mustakhrajat ini, kedudukan hadis-hadis dalam Muwattha’ semakin kukuh.

Maka, dapatlah disimpulkan bahawa sanad hadis dalam kitab Imam Malik telah sempurna dan terpelihara.

Wallahu a’lam.