Sejarah Islam penuh dengan kisah luar biasa tentang perubahan hidup yang mengagumkan. Salah satunya ialah kisah salah seorang pengarang Muwattha’ yang terkenal iaitu ‘Abdullah bin Maslamah.
Beliau pernah hidup sebagai seorang perompak, namun akhirnya memilih jalan ilmu sehingga dikenang sebagai seorang ulama terkemuka.
Fenomena ini bukanlah asing dalam lipatan sejarah Islam. Lihat sahaja sahabat Nabi Muhammad s.a.w. yang masyhur, Abu Dzar al-Ghiffari.
Beliau berasal daripada qabilah Ghiffar yang terkenal dengan kegiatan merompak.
Namun, setelah cahaya Islam menyentuh hatinya, Abu Dzar berubah menjadi seorang insan yang zuhud, tegas menjaga halal dan haram, serta tidak gentar menegakkan kebenaran walau berdepan dengan penguasa.
Kisah-kisah seperti ini adalah bukti bahawa latar belakang bukanlah penghalang untuk menjadi manusia yang mulia.
Ia mengingatkan kita bahawa setiap orang berpeluang untuk berubah, meninggalkan masa silam yang kelam, dan melangkah menuju kehidupan yang lebih baik dengan iman dan ilmu sebagai panduan.
Wallahu a’lam.

