Masyarakat kita secara umumnya melazimi satu jenis sahaja bacaan zikir selepas solat, seolah-olah itulah satu-satunya cara berzikir yang diamalkan oleh Nabi s.a.w. sepanjang hayat baginda.
Padahal tidak begitu; banyak lagi lafaz-lafaz zikir selepas solat yang diamalkan dan diajarkan oleh Nabi s.a.w.
Misalnya, selain daripada bertasbih 33 kali, bertahmid 33 kali dan bertakbir 33 kali sebelum ditutupi dengan tahlil sekali, baginda juga pernah mengajar sahabat untuk bertasbih 33 kali, bertahmid 33 kali dan bertakbir sebanyak 34 kali.
Selain itu, kita juga dianjurkan untuk bertasbih, bertahmid, bertakbir dan bertahlil sebanyak 25 kali setiap satu, sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Imam at-Tirmizi dengan sanadnya:
عَنْ زَيْدِ بْنِ ثَابِتٍ رضى الله عنه قَالَ أُمِرْنَا أَنْ نُسَبِّحَ دُبُرَ كُلِّ صَلاَةٍ ثَلاَثًا وَثَلاَثِينَ وَنَحْمَدَهُ ثَلاَثًا وَثَلاَثِينَ وَنُكَبِّرَهُ أَرْبَعًا وَثَلاَثِينَ. قَالَ فَرَأَى رَجُلٌ مِنَ الأَنْصَارِ فِي الْمَنَامِ فَقَالَ أَمَرَكُمْ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَنْ تُسَبِّحُوا فِي دُبُرِ كُلِّ صَلاَةٍ ثَلاَثًا وَثَلاَثِينَ وَتَحْمَدُوا اللَّهَ ثَلاَثًا وَثَلاَثِينَ وَتُكَبِّرُوا أَرْبَعًا وَثَلاَثِينَ قَالَ نَعَمْ. قَالَ فَاجْعَلُوا خَمْسًا وَعِشْرِينَ وَاجْعَلُوا التَّهْلِيلَ مَعَهُنَّ فَغَدَا عَلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَحَدَّثَهُ فَقَالَ افْعَلُوا.
Maksudnya:
Daripada Zaid bin Thabit r.a. katanya, “Kami telah diperintahkan supaya bertasbih selepas setiap solat sebanyak 33 kali, bertahmid 33 kali, dan bertakbir 34 kali.
Kemudian seorang lelaki daripada Ansar telah melihat seorang lelaki berkata di dalam mimpinya, ‘Rasulullah ﷺ telah memerintahkan kalian supaya bertasbih selepas setiap solat 33 kali, bertahmid 33 kali, dan bertakbir 34 kali?’ Lelaki Ansar itu menjawab, ‘Ya.’
Lelaki itu pun berkata, ‘Jadikanlah ia 25 kali, dan sertakanlah tahlil bersama-sama dengannya (iaitu sebanyak 25 kali juga).’
Lalu, (setelah terjaga) lelaki Ansar itu pun bergegas menemui Nabi ﷺ dan menceritakan hal tersebut. Maka, Nabi ﷺ pun bersabda, ‘Kalian semua perbuatlah seperti itu.’”
JAMI’ AT-TIRMIZI (3413) : HADIS SAHIH
Maka, sepatutnya kita mempelbagaikan lafaz zikir selepas solat sebagaimana yang warid di dalam hadis-hadis sahih.
Wallahu a’lam.

