Terdapat beberapa buah ayat al-Quran dan hadis yang memberikan gambaran tentang keadaan manusia saat dibangkitkan di Padang Mahsyar nanti mengikut jenis dosa yang mereka lakukan, antaranya:
1. PEMAKAN RIBA (Berdiri Terhuyung-Hayang Seperti Dirasuk Syaitan)
ٱلَّذِينَ يَأْكُلُونَ ٱلرِّبَوٰا۟ لَا يَقُومُونَ إِلَّا كَمَا يَقُومُ ٱلَّذِى يَتَخَبَّطُهُ ٱلشَّيْطَـٰنُ مِنَ ٱلْمَسِّ
Maksudnya:
"Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu."
SURAH AL-BAQARAH (2) : 275
2. MENDAHULUI IMAM DALAM SOLAT (Diubah Kejadian Menjadi Keldai)
أَمَا يَخْشَى أَحَدُكُمْ ـ أَوْ لاَ يَخْشَى أَحَدُكُمْ ـ إِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ قَبْلَ الإِمَامِ أَنْ يَجْعَلَ اللَّهُ رَأْسَهُ رَأْسَ حِمَارٍ أَوْ يَجْعَلَ اللَّهُ صُورَتَهُ صُورَةَ حِمَارٍ
Maksudnya:
"Tidakkah salah seorang daripada kalian takut, apabila dia mengangkat kepalanya sebelum imam, bahawa Allah akan menukarkan kepalanya menjadi kepala keldai, atau Allah akan menukarkan rupa bentuknya menjadi rupa keldai?"
3. MENGKHIANATI AMANAH RAKYAT (Ditandakan Dengan Bendera Pengkhianatan)
لِكُلِّ غَادِرٍ لِوَاءٌ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرْفَعُ لَهُ بِقَدْرِ غَدْرِهِ أَلاَ وَلاَ غَادِرَ أَعْظَمُ غَدْرًا مِنْ أَمِيرِ عَامَّةٍ
Maksudnya:
"Bagi setiap pengkhianat akan ada sebuah panji (bendera) pada hari qiyamat yang akan diangkat setinggi kadar pengkhianatannya. Ketahuilah, tidak ada pengkhianatan yang lebih besar daripada pengkhianatan seorang pemimpin rakyat."
4. TIDAK MEMBAYAR ZAKAT TERNAKAN (Dipijak Oleh Haiwan Ternakannya)
وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ ـ أَوْ وَالَّذِي لاَ إِلَهَ غَيْرُهُ، أَوْ كَمَا حَلَفَ ـ مَا مِنْ رَجُلٍ تَكُونُ لَهُ إِبِلٌ أَوْ بَقَرٌ أَوْ غَنَمٌ لاَ يُؤَدِّي حَقَّهَا إِلاَّ أُتِيَ بِهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْظَمَ مَا تَكُونُ وَأَسْمَنَهُ، تَطَؤُهُ بِأَخْفَافِهَا، وَتَنْطَحُهُ بِقُرُونِهَا، كُلَّمَا جَازَتْ أُخْرَاهَا رُدَّتْ عَلَيْهِ أُولاَهَا، حَتَّى يُقْضَى بَيْنَ النَّاسِ
Maksudnya:
“Demi Tuhan yang jiwaku berada di tangan-Nya — atau demi Tuhan yang tiada Tuhan selain-Nya, atau seumpama sumpah itu — tidak ada seorang lelaki pun yang memiliki unta, lembu, atau kambing yang tidak menunaikan haknya (zakatnya), melainkan pada hari qiyamat kelak haiwan-haiwan itu akan didatangkan dalam keadaan yang paling besar dan paling gemuk yang pernah ada.
Haiwan-haiwan itu akan memijak-mijaknya dengan kaki-kakinya dan menanduknya dengan tanduk-tanduknya. Setiap kali haiwan yang terakhir selesai melaluinya, maka yang pertama akan dikembalikan semula kepadanya (untuk terus menyeksa), sehinggalah selesai urusan pengadilan di antara manusia.”
Inilah sebahagian kejadian yang dapat kita lihat di Padang Mahsyar nanti. Mudah-mudahan, kita mengambil iktibar daripadanya.
Wallahu a’lam.

