Apabila telah sabit di dalam hadis yang menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w. mengerjakan sesuatu ibadah dengan lebih daripada satu cara, maka sebaik-baiknya kita berusaha untuk beribadah mengikut semua cara tersebut.
Misalnya, terdapat dua riwayat tentang lafaz tasyahhud. Yang biasa diamalkan dalam Mazhab Syafi’i ialah versi riwayat Ibn ‘Abbas r.a. iaitu:
التَّحِيَّات ُالْمُبَارَكَاتُ الصَّلَوَاتُ الطَّيِّبَاتُ لِلَّهِ . السَّلاَمُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ . السَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللَّهِ الصَّالِحِينَ . أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ
Maksudnya:
“Segala ucapan penghormatan penuh keberkatan, solat, dan kebaikan buat Allah. Kesejahteraan buatmu wahai Nabi, beserta rahmat Allah dan keberkatan-Nya. Kesejahteraan juga buat kami dan buat sekalian hamba Allah yang soleh. Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah utusan Allah.”
Tetapi, lafaz tasyahhud yang dianggap sebagai paling sahih dan paling baik oleh jumhur ulama adalah apa yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud r.a. iaitu:
التَّحِيَّاتُ لِلَّهِ وَالصَّلَوَاتُ وَالطَّيِّبَاتُ، السَّلاَمُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ، السَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللَّهِ الصَّالِحِينَ، أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ
Maksudnya:
“Segala ucapan penghormatan buat Allah. Kesejahteraan buatmu wahai Nabi, beserta rahmat Allah dan keberkatan-Nya. Kesejahteraan juga buat kami dan buat sekalian hamba Allah yang soleh. Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba-Nya dan utusan-Nya.”
Selepas membawakan riwayat Ibn Mas’ud ini, al-Imam at-Tirmizi berkata:
حَدِيثُ ابْنِ مَسْعُودٍ قَدْ رُوِيَ عَنْهُ مِنْ غَيْرِ وَجْهٍ . وَهُوَ أَصَحُّ حَدِيثٍ رُوِيَ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فِي التَّشَهُّدِ . وَالْعَمَلُ عَلَيْهِ عِنْدَ أَكْثَرِ أَهْلِ الْعِلْمِ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم وَمَنْ بَعْدَهُمْ مِنَ التَّابِعِينَ . وَهُوَ قَوْلُ سُفْيَانَ الثَّوْرِيِّ وَابْنِ الْمُبَارَكِ وَأَحْمَدَ وَإِسْحَاقَ
Maksudnya:
“Hadis Ibn Mas'ud telah diriwayatkan daripadanya melalui beberapa sanad, dan ia juga adalah hadis paling sahih yang diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. berkenaan bacaan tasyahhud. Majoriti ulama termasuk para sahabat Nabi s.a.w. dan generasi tabi'in selepas mereka turut beramal dengannya. Ini juga merupakan pendapat Sufyan ats-Tsawri, Ibn al-Mubarak, Ahmad (bin Hanbal), dan Ishaq (bin Rahawaih).”
Penjelasan daripada al-Imam at-Tirmizi ini membuktikan bahawa lafaz tasyahhud riwayat Ibn Mas’ud dianggap sebagai lebih sahih dan lebih afdhal oleh majoriti ulama.
Malangnya, lafaz ini kurang dikenali oleh masyarakat nusantara kerana telah terbiasa dengan riwayat Ibn ‘Abbas.
Meskipun berterusan mengamalkan tasyahhud riwayat Ibn ‘Abbas tidak menjejaskan solat, tetapi alangkah baiknya jika kita turut mengamalkan lafaz tasyahhud yang lain kerana ia juga ajaran Nabi s.a.w.
Lebih-lebih lagi bagi mereka yang mempelajari hadis Nabi s.a.w., amatlah digalakkan untuk beramal dengan setiap riwayat yang sampai kepada mereka sekurang-kurangnya sekali seumur hidup kerana setiap kaifiat ibadah yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. mempunya cita rasa, kelebihan dan keistimewaannya yang tersendiri.
Demikianlah yang dipesan oleh guru-guru kami dahulu.
Wallahu a’lam.