Return to site

ZIKIR RINGKAS JAMINAN SYURGA

August 23, 2022

Terdapat sebuah zikir yang sangat ringkas tetapi mempunyai kelebihan yang sangat besar, terutamanya pada Hari Qiyamat nanti, iaitu apa yang diriwayatkan oleh al-Imam Abu Daud dengan sanadnya:

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ رَافِعٍ، حَدَّثَنَا أَبُوالْحُسَيْنِ زَيْدُ بْنُ الْحُبَابِ حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ شُرَيْحٍ الإِسْكَنْدَرَانِيُّ، حَدَّثَنِي أَبُو هَانِئٍ الْخَوْلاَنِيُّ، أَنَّهُ سَمِعَ أَبَا عَلِيٍّ الْجَنْبِيَّ، أَنَّهُ سَمِعَ أَبَا سَعِيدٍ الْخُدْرِيَّ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏مَنْ قَالَ رَضِيتُ بِاللَّهِ رَبًّا وَبِالإِسْلاَمِ دِينًا وَبِمُحَمَّدٍ رَسُولاً وَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ

Maksudnya:

Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Rafi’, telah menceritakan kepada kami Abu al-Husain (iaitu) Zaid bin al-Hubab, telah menceritakan kepada kami ‘Abdur Rahman bin Syuraih al-Iskandari, telah menceritakan kepadaku Abu Hani’ al-Khaulani, bahawasanya dia telah mendengar Abu ‘Ali al-Janabi, bahawasanya dia telah mendengar Abu Sa’id al-Khudri, bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda, “Barangsiapa yang menyebut:

رَضِيتُ بِاللَّهِ رَبًّا وَبِالإِسْلاَمِ دِينًا وَبِمُحَمَّدٍ رَسُولاً

‘Aku redha dengan Allah sebagai Tuhanku, dengan Islam sebagai agamaku dan dengan Muhammad sebagai Rasulku,’

nescaya telah diwajibkan untuknya (dimasukkan ke dalam) syurga.”

Lafaz zikir di dalam hadis di atas telah disebutkan secara umum tanpa mengkhususkan bacaannya dengan waktu atau bilangan tertentu. Maka, zikir ini boleh dibaca pada bila-bila masa sebanyak mana pun yang kita mahukan.

Tetapi terdapat satu lagi riwayat yang mengkhususkan bacaan zikir ini pada waktu pagi dan petang sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad bin Hanbal dengan sanadnya bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda:

مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يَقُولُ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ حِينَ يُمْسِي أَوْ يُصْبِحُ رَضِيتُ بِاللَّهِ رَبًّا وَبِالْإِسْلَامِ دِينًا وَبِمُحَمَّدٍ نَبِيًّا إِلَّا كَانَ حَقًّا عَلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ أَنْ يُرْضِيَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya:

"Tidaklah seseorang hamba Muslim itu menyebut sebanyak tiga ketika dia memasuki waktu petang atau pagi:

رَضِيتُ بِاللَّهِ رَبًّا وَبِالْإِسْلَامِ دِينًا وَبِمُحَمَّدٍ نَبِيًّا 

'Aku redha dengan Allah sebagai Tuhanku, dengan Islam sebagai agamaku dan dengan Muhammad sebagai Nabiku,'

melainkan Allah pasti meredhainya pada Hari Qiyamat nanti."

Maka, disunatkan untuk membaca zikir ini sebanyak mana pun yang kita mahu pada sebarang waktu, atau sekurang-kurangnya membacanya sebanyak tiga kali pada waktu pagi dan tiga kali pada waktu petang, kerana ia mempunyai kelebihan yang sangat besar pada Hari Qiyamat nanti.

Wallahua’lam.