Al-Imam al-Bukhari telah meriwayatkan sebuah hadis dengan sanadnya daripada Qatadah, katanya:
سَأَلْتُ أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ رضى الله عنه عَنْ شَعَرِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ كَانَ شَعَرُ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم رَجِلاً لَيْسَ بِالسَّبِطِ وَلاَ الْجَعْدِ بَيْنَ أُذُنَيْهِ وَعَاتِقِهِ
Maksudnya:
“Aku telah bertanya kepada Anas bin Malik r.a. tentang (sifat) rambut Rasulullah s.a.w., maka, beliau berkata, ‘Rambut Rasulullah s.a.w. itu ikal mayang, tidak kerinting dan tidak pula lurus. (Panjangnya) adalah antara telinga dan bahunya.'”
Adapun panjang rambut Nabi s.a.w., riwayat yang sampai kepada kita menunjukkan yang kadarnya berbeza-beza. Yang paling pendek adalah sehingga pertengahan telinganya, sebagaimana yang dijelaskan oleh Anas bin Malik r.a., katanya:
كَانَ شَعَرُ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِلَى أَنْصَافِ أُذُنَيْهِ
Maksudnya:
“(Panjang) rambut Rasulullah s.a.w. itu hingga ke paras pertengahan telinganya.”
Kadang-kala, baginda membiarkan rambutnya panjang sehingga ke paras cuping telinganya sebagaimana yang diceritakan oleh al-Bara’ bin ‘Azib r.a., katanya:
كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم مَرْبُوعًا، بَعِيدَ مَا بَيْنَ الْمَنْكِبَيْنِ لَهُ شَعَرٌ يَبْلُغُ شَحْمَةَ أُذُنِهِ
Maksudnya:
“Nabi s.a.w. adalah seorang yang sederhana (tingginya),dengan jarak antara bahunya yang jauh, dan mempunyai rambut yang mencecah cuping telinganya.”
Dan paras rambut paling panjang pernah disimpan oleh Rasulullah s.a.w. adalah sehingga menyentuh bahunya, sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim dengan sanadnya:
عَنْ أَنَسٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم كَانَ يَضْرِبُ شَعَرُهُ مَنْكِبَيْهِ
Maksudnya:
Daripada Anas, bahawasanya rambut Rasulullah s.a.w. pernah mencecah bahunya.
Maka, daripada hadis-hadis ini, dapatlah kita ketahui yang Rasulullah s.a.w.menjaga penampilan rambutnya. Kerana itulah rambut baginda panjang dan lebat.
Wallahu a’lam.