Sebenarnya, tidaklah menjadi kesalahan untuk kita menegur pemerintah selagi mana ia dilakukan dengan cara yang beradab sebagaimana yang digariskan oleh Allah melalui firman-Nya saat memerintahkan Nabi Musa dan Nabi Harun a.s. berdakwah kepada Fir’aun:
فَقُولَا لَهُ قَوْلًا لَيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَىٰ
Maksudnya:
“Maka, berkatalah kamu berdua kepadanya (Firaun) dengankata-kata yang lemah lembut. Mudah-mudahan, dia mahu mengambil peringatan atau berasa takut (kepada Allah).”
SURAH THOHA (20) : 44
Kalau dengan manusia seperti Fir’aun yang mendakwa dirinya adalah Tuhanpun tetap diperintahkan oleh Allah supaya bercakap dengan lemah-lembut, inikan pula dengan para pemimpin lain yang belumlah sampai ke tahap itu.
Pada hari ini, kebanyakan kerajaan di dunia dibahagikan kepada parti pemerintah dan parti pembangkang. Maka, mana-mana parti sepatutnya mengambil kesempatan ini untuk menegur pemerintah secara berhemat.
Selain itu, kita juga boleh menegur pemerintah dengan cara yang lain, bergantung kepada keadaan atau hubungan kita dengan pemerintah. Misalnya, jika kita berkawan dengan pemerintah, tegurlah dia dengan bahasa seorang sahabat.
Tetapi, jika pemerintah itu masih lagi gagal memahami suara hati rakyat, tidaklah salah secara mutlak untuk kita menegurnya secara kasar, dengan syarat ia dilakukan pada kadar yang munasabah dan menjauhi budaya fitnah dan kata-kata yang jauh dari akhlaq seorang Muslim, semata-mata demi kepentingan politik kepartian, supaya tidak menjatuhkan nama baik Islam.
Kerana itulah Nabi Muhammad s.a.w. bersabda:
أفضَلُ الجِهادِ كلمةُ عَدلٍ عندَ سُلطانٍ جائرٍ أوأميرٍ جائرٍ
Maksudnya:
“Sebaik-baik jihad adalah kalimah yang adil di hadapan sultan atau pemerintah yang zalim.”
Ertinya, selagi mana ia dilakukan dengan cara yang adil dan penuh hikmah, menegur pemerintah bukan sahaja tidak salah, malah dianggap sebagai sebaik-baik di sisi Allah.
Wallahu a’lam.