Umum mengetahui yang para ulama berbeza pendapat dalam menetukan had tayammum.
Sebahagian ulama termasuklah ‘Ali bin Abu Tholib, ‘Ammar bin Yasir, Ibn ‘Abbas r.a.hum., asy-Sya’bi, ‘Atho’, Makhul, Ahmad bin Hanbal, Ishaq bin Rahuyah dan al-Bukhari berpendapat yang had tayammum hanyalah sekadar menepuk tanah sekali lalu menyapu muka dan tangan sehingga pergelangan tangan sahaja.
Pendapat ini selari dengan hadis terkuat dalam masalah ini yang diriwayatkan di dalam Sahih al-Bukhari di mana ‘Ammar bin Yasir telah berkata kepada ‘Umar r.a.hum.:
إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم بَعَثَنِي أَنَا وَأَنْتَ فَأَجْنَبْتُ فَتَمَعَّكْتُ بِالصَّعِيدِ فَأَتَيْنَا رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَأَخْبَرْنَاهُ فَقَال إِنَّمَا كَانَ يَكْفِيكَ هَكَذَا وَمَسَحَ وَجْهَهُ وَكَفَّيْهِ وَاحِدَةً
Maksudnya:
Rasulullah s.a.w. telah mengutus aku dan engkau (untuk satu hajat). Tiba-tiba, aku berjunub. Maka, aku pun berguling di atas tanah. Lalu, kita mendatangi Rasulullah s.a.w. lantas menceritakan kepadanya (tentang perbuatanku itu). Maka, baginda bersabda, “Hanyasanya memadailah untuk engkau berbuat seperti ini,” sambil baginda menyapu wajahdan kedua-dua belah tangannya sekali.
Meskipun demikian, sebahagian lagi ulama seperti Ibn ‘Umar, Jabir r.a.hum., Ibrahim an-Nakha’i, al-Hasan al-Basri, Sufyan ats-Tsauri, Malik bin Anas, Ibn al-Mubarak dan asy-Syafi’i, berpendapat yang di dalam hadis ini, Nabi s.a.w. bukannya mahu menerangkan had tayammum.
Sebaliknya, baginda hanya mengkhabarkan bahawa jika seseorang berjunub,dia tidak perlu untuk melumurkan debu tanah ke seluruh badannya. Sebaliknya, memadailah dengan dia bertayammum seperti biasa iaitu dengan menyapu debu tanah ke muka dan kedua-dua belah tangannya.
Adapun had tayammum yang sebenar menurut mereka, dijelaskan di dalam hadis lain riwayat Ibn ‘Umar r.a.huma. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda:
التَّيَمُّمُ ضَرْبَتَانِ ضَرْبَةٌ لِلْوَجْهِ وَضَرْبَةٌ لِلْيَدَيْنِ إِلَى اَلْمِرْفَقَيْنِ
Maksudnya:
“Tayammum itu dilakukan dengan dua tepukan. Satu tepukan tanah untuk wajah dan satu lagi tepukan tanah untuk kedua-dua belah tangan hingga ke siku.”
Meskipun hadis ini tidaklah sekuat hadis pertama, tetapi demikianlah kadang-kala ulama berhujah dengan hadis yang kurang kuat kerana mempunyai tafsiran yang berbeza terhadap hadis yang lebih kuat.
Wallahu a’lam.

